WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OPTIMIS BN KEKAL DI AYER KUNING - MB PAHANG

25/04/2025 11:53 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail optimis bahawa Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, esok.

Beliau berkata ‘mood’ rakyat di Ayer Kuning sepanjang tempoh berkempen juga dilihat  begitu berminat dengan kerajaan yang ada pada hari ini.

“Insya-Allah melihat kepada jentera kita, usaha kuat jentera daripada mula dan ini adalah kesinambungan Allahyarham Isham Shahrudin, yang telah menunjukkan kerja yang baik.

“Saya percaya pengundi-pengundi di Ayer Kuning akan pilih calon daripada BN kerana selari dengan kerajaan Negeri dan memudahkan wakil rakyat yang dipilih nanti untuk menyampaikan masalah-masalah mereka kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Kebajikan Anak-anak Pahang (PEKAP) malam ini.

PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam, akibat serangan jantung pada 22 Feb, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, calon PN Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

Terdahulu, Wan Rosdy dalam ucapannya menyeru agar anak-anak Pahang yang berada di perantauan pulang ke kampung halaman untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum, akan datang.

“Kalau tuan puan melihat kerajaan yang ada hari ini, Kerajaan Perpaduan dan kerajaan negeri bekerjasama menjana keuntungan, hasil bertambah, memberi pembelaan kepada anak-anak Pahang dalam pelbagai bentuk, jadi kita kekalkan. 

“Saya menyeru, ada masa dua tahun lebih lagi, baliklah, daftar dan undi di Pahang,” katanya pada majlis itu yang dihadiri lebih 1,000 anak-anak Pahang yang berada di perantauan. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan