WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANDUAN DAPAT PENGAMPUNAN: TARIKH PENDENGARAN PERMOHONAN PENDAKWAAN DILAPANGKAN

25/04/2025 09:39 PM

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini melapangkan tarikh pendengaran permohonan pendakwaan bagi mencabar keputusan majoriti 2-1 mahkamah itu bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk menyemak semula hukuman empat banduan yang diringankan oleh Lembaga Pengampunan.

Peguam Datuk N.Sivananthan, yang mewakili dua daripada banduan terbabit, memaklumkan media bahawa prosiding itu tidak diteruskan untuk membolehkan pihak berkenaan meneroka kemungkinan mengguna pakai perintah Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut kepada 123 banduan lain yang berada dalam situasi serupa.

Beliau berkata pengurusan kes telah ditetapkan pada 3 Jun ini untuk pihak-pihak yang berkaitan memaklumkan mahkamah mengenai sebarang perkembangan.

Pada 27 Ogos 2024, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa ia mempunyai kuasa di bawah akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori serta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan 2023 untuk menyemak semula hukuman mati yang dijatuhi ke atas keempat-empat banduan bagi kesalahan mengedar dadah.

Keputusan majoriti itu yang dibuat oleh Hakim Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Hanipah Farikullah, memutuskan bahawa hukuman penjara 30 tahun yang dijatuhkan ke atas keempat-empat banduan hendaklah bermula dari tarikh mereka ditangkap dan bukannya dari tarikh mereka diberikan pengampunan.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Nordin Hassan menentang keputusan itu.

Susulan keputusan itu, pendakwaan telah memfailkan permohonan semakan di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 atas alasan hakim-hakim yang membuat keputusan majoriti itu telah bertindak melangkaui bidang kuasa mereka.

Peguam Abdul Rashid Ismail, yang mewakili warga Zambia iaitu Mailesi Phiri, memberitahu media bahawa hukuman penjara 123 banduan lain dikira dari tarikh keputusan Lembaga Pengampunan dan bukannya tarikh mereka ditangkap.

“Ini bermakna masa yang mereka habiskan dalam tahanan sebelum diberikan pengampunan tidak diambil kira menyebabkan tempoh pemenjaraan yang lebih panjang melepasi 30 tahun seperti ditetapkan di bawah Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Pada Ogos tahun lepas, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan hukuman penjara 30 tahun terhadap empat lelaki iaitu G. Jiva, 55, P. Balakrishnan, 48 serta warga Thailand Phrueksa Thaemchim, 41, dan Phiri, 47, bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Sivananthan mewakili Jiva dan Balakrishnan; peguam K. Simon Murali mewakili Phrueksa manakala Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa, Tetralina Ahmed Fauzi, Ng Siew Wee dan Solehah Noratikah Ismail hadir bagi pihak pendakwaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan