WILAYAH - TENGAH > BERITA

ISN SASAR TAMBAH EMPAT PUSAT SATELIT TAHUN INI

25/04/2025 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Institut Sukan Negara (ISN) merancang menambah sekurang-kurangnya empat lagi Pusat Satelit tahun ini sebagai langkah memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Dr P. Vellapandian berkata penambahan itu bagaimanapun akan dibuat secara berperingkat bergantung kepada kelayakan dan kesediaan institusi yang mahu bekerjasama.

“Kita sasarkan empat Pusat Satelit baharu tahun ini, tetapi ia perlu melalui proses tapisan terlebih dahulu. Kita mahu pastikan semua syarat dipenuhi sebelum sebarang kolaborasi dimeterai.

“Selain universiti, kita juga terbuka untuk bekerjasama dengan hospital bagi memastikan atlet negeri masing-masing dapat menerima rawatan dan khidmat pemulihan yang sesuai,” katanya selepas sesi libat urus pertama bersama Ketua Pusat Satelit di ISN, Bukit Jalil, hari ini.

Setakat ini, ISN mempunyai tujuh Pusat Satelit di seluruh negara, antaranya di Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta UiTM Shah Alam dan Perlis.

Turut tersenarai ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Menurut Dr Vellapandian, ISN menyasarkan liputan perkhidmatan sains sukan dapat diperluas ke seluruh negara secara lebih menyeluruh melalui jaringan strategik Pusat Satelit.

“Matlamat utama kami ialah memastikan atlet dan pasukan dari mana-mana negeri mendapat akses sains sukan yang berkualiti dan saksama.

“Kita lihat universiti awam yang menawarkan program berkaitan sains, perubatan dan teknologi sukan sebagai rakan pelaksana terbaik – kerana mereka ada kepakaran, kemudahan asas dan lokasi yang strategik.

."Matlamat utama adalah untuk memastikan akses yang saksama dan berkualiti tinggi terhadap perkhidmatan sains sukan, tidak kira lokasi atlet atau pasukan. Harapan ISN juga adalah untuk mewujudkan ekosistem kolaboratif antara ISN, universiti, persatuan sukan negeri dan agensi tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan