WILAYAH - UTARA > BERITA

KARNIVAL KITA MADANI PULAU PINANG TARIK LEBIH 3,000 PENGUNJUNG PELBAGAI KAUM

26/04/2025 06:15 PM

BUKIT MERTAJAM, 26 April (Bernama) -- Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang anjuran Jabatan Penerangan (JaPEN) negeri berjaya menarik kehadiran lebih 3,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang.

Pengarah Penerangan Negeri Hasmiza Husin berkata jumlah itu melebihi sasaran awal 2,000 pengunjung, yang secara tidak langsung mencapai objektif penganjurannya untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

Beliau berkata terdapat lebih 40 reruai oleh agensi kerajaan dan swasta pada karnival itu antaranya Jabatan Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional serta pelbagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi.

“Alhamdulillah sambutan daripada penduduk setempat sangat menggalakkan. Program telah dimulakan seawal 7 pagi dengan acara larian dan saya amat teruja melihat orang ramai berkumpul penuh semangat. Penganjuran karnival ini berkonsep ‘Pemimpin Bersama Rakyat’ iaitu kita ingin mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

“Kita juga membawa pelbagai inspirasi dan inisiatif kerajaan agar rakyat dapat mengakses maklumat yang sahih serta terkini dengan lebih mudah,” katanya kepada pemberita pada karnival berkenaan yang diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah di Permatang Pasir di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan turut diadakan simbolik penyampaian 70 bakul Rahmah.

Selain pameran dan larian, aktiviti lain yang menjadi tumpuan pada karnival sehari itu termasuk Free Market PUSPANITA, sukan rakyat, e-sukan, Jualan Murah Rahmah MADANI dan demonstrasi memadam kebakaran manakala pada sebelah malam pula diadakan Forum Perdana Ehwal Islam.

Sementara itu, Mohamad berkata program seumpama itu bukan pertama kali, sebaliknya telah dimulakan sejak tahun lepas dan dilaksanakan di pelbagai peringkat iaitu negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). 

“Ia bertujuan menyantuni rakyat dengan memberi penjelasan berkenaan dasar kerajaan, polisi semasa serta pelaksanaan program oleh agensi kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Konsep MADANI yang diketengahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk memastikan pendekatan inklusif, penyampaian perkhidmatan yang mesra rakyat, dan memperkukuhkan hubungan kerajaan dan masyarakat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan