BATU PAHAT, 19 April (Bernama) -- Program Jelajah Orang Johor (JOJ) yang diwujudkan kerajaan negeri di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan mendekati masyarakat, sekali gus menyampaikan mesej secara terus kepada mereka.
Pengerusi JOJ Datuk Zahari Sarip berkata program berkenaan turut berperanan sebagai tempat atau wadah untuk masyarakat menyuarakan pandangan kepada pemimpin serta agensi berkaitan.
Beliau berkata pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan pada program ini seperti menyalurkan pelbagai bantuan kepada sektor pertanian, selain beberapa program untuk belia dan sukan.
“Antara pengisian JOJ yang diadakan di DUN Parit Raja hari ini adalah Semarak Subuh, Jualan Kasih Johor, agihan peralatan, sumbangan kepada petani dan pameran oleh agensi-agensi kerajaan.
“Semua ini kita bawa ke DUN supaya rakyat dapat merasai apa yang diumumkan di kawasan masing-masing… Menteri Besar turut menegaskan semua pemimpin di peringkat negeri dan daerah perlu turun padang, jangan hanya mendapat laporan daripada pegawai,” katanya kepada pemberita selepas perasmian JOJ DUN Parit Raja di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi selain turut dihadiri 8,000 pengunjung di sekitar kawasan DUN berkenaan.
Zahari berkata kejayaan JOJ di Parit Raja ini akan menjadi penanda aras untuk dilaksanakan di setiap DUN sepanjang perlaksanaannya yang dijangka berakhir pada Oktober atau November tahun ini.
Sementara itu, seorang peserta Muay Thai Evon Khiu Yee Ven, 38, berkata program JOJ itu sememangnya tepat untuk dilaksanakan kerana selain mengetahui inisiatif kerajaan, ia juga menjadi tempat untuk penggiat sukan mendapatkan maklumat tertentu daripada kerajaan.
Sementara itu, Intan Balqis Mohd Hadir, 21, berkata program itu juga menjadi tempat untuk masyarakat beramah mesra dengan pemimpin selain berkongsi masalah yang dihadapi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial