WILAYAH - SELATAN > BERITA

PEMANDU MITSUBISHI TRITON LANGGAR LARI WANITA HINGGA MAUT DITAHAN

26/04/2025 09:46 PM

MELAKA, 26 April (Bernama) -- Polis menahan seorang pemandu kereta pacuan empat roda dipercayai terlibat dalam kes langgar lari mengakibatkan seorang pembonceng motosikal maut ketika sedang berhenti di lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Balai Panjang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata suspek berusia 50 tahun yang memandu Mitsubishi Triton dalam kemalangan itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada 12.50 tengah hari tadi.

“Darah suspek diambil untuk ujian toksikologi bagi mengesan kehadiran alkohol selain saringan air kencing.

“Suspek ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kemalangan kira-kira 11 malam tadi, mangsa Roslinah Sinan, 53, yang menaiki motosikal ditunggang suaminya Hisham Omar, 57, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Beliau berkata Hisham yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan, manakala pemandu Mitsubishi Triton pula tidak mengalami kecederaan dan melarikan diri selepas melanggar mangsa.

Christopher berkata sebelum kejadian, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal Honda Wave 125 dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal ke kedai makan di Balai Panjang.

Beliau berkata bagaimanapun ketika motosikal berkenaan berhenti di lampu isyarat di lokasi kejadian, motosikal dinaiki dirempuh dari arah belakang oleh kereta pacuan empat roda yang datang dari arah Malim ke Bachang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan