WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK AYER KUNING: KEMENANGAN MANIFESTASI JELAS RAKYAT KEPADA KERAJAAN MADANI - AHMAD ZAHID

26/04/2025 10:50 PM

BAGAN DATUK, 26 April (Bernama) -- Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hari ini adalah manifestasi jelas sokongan rakyat kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu juga petanda sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan di Perak di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mohamad Yusri atas kemenangan berkenaan dan berharap wakil rakyat baharu itu dapat meneruskan perkhidmatan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning Allahyarham Ishsam Shahruddin kepada rakyat kawasan tersebut.

“Terima kasih juga kepada Menteri Besar Perak yang telah mengetuai jentera pilihan raya kerana saya tahu beliau telah meletakkan keutamaan PRK Ayer Kuning sejak bulan puasa lagi dan sudah tentu penat lelah beliau telah membuahkan hasil dan saya ucap terima kepada semua,” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di sini malam ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook pula, Ahmad Zahid berkata 10 daripada 11 Pusat Daerah Mengundi yang tewas kepada pembangkang pada PRU lepas kini kembali semula ke pangkuan BN.

Beliau berkata kemenangan itu menjadi bukti jelas bahawa rakyat semakin bijak menilai. 

"Mereka menolak politik kebencian dan memilih kestabilan, kemajuan serta kepimpinan yang berwibawa.

"Ia juga isyarat kukuh bahawa Kerajaan Perpaduan diterima kerana mampu mengurus tadbir negeri dan negara dengan baik, berasaskan prinsip perpaduan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Mohamad Yusri memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,006 undi selepas meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan