KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli mempamerkan tunggangan memukau apabila menamatkan perlumbaan satu Grand Prix (GP) Sepanyol saingan Rookies Cup di kedudukan podium semalam.
Pada perlumbaan berlangsung di Litar Jerez, pelumba berusia 17 tahun itu menduduki tempat kedua dengan perbezaan 0.037 saat (s) selepas dipintas pelumba tuan rumah, Brian Uriarte di selekoh terakhir yang mencatat masa 25 minit 37.402s untuk meraih tempat pertama.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba Indonesia, Veda Pratama dengan catatan 25:40.629s.
"Saya tidak terlalu gembira dengan keputusan ini (P2) kerana kehilangan satu kedudukan.
"Bagaimanapun, ia perlumbaan yang sangat bagus sebagai permulaan untuk musim ini. Saya melakukan kesilapan yang sangat kecil pada pusingan terakhir dan ini memberi peluang kepada Uriarte," katanya menerusi kenyataan di laman sesawang rasmi perlumbaan.
Untuk rekod, pelumba kelahiran Terengganu itu pernah meraih kedudukan podium sama pada perlumbaan kedua edisi 2024 di litar berkenaan.
Kejayaan podium tersebut menyaksikan Hakim Danish mengutip 20 mata di belakang Uriarte yang mengungguli carta kedudukan dengan 25 mata.
Perlumbaan kedua saingan itu akan berlangsung 2.45 petang ini waktu Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial