WILAYAH - SARAWAK > BERITA

APMM SELANGOR TAHAN BOT BAWA LEBIH PENUMPANG

27/04/2025 03:56 PM

SHAH ALAM, 27 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot kerana membawa lebihan penumpang di kedudukan 0.15 batu nautika tenggara Sungai Lima, Pulau Ketam dekat sini, pada 6.15 petang semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot penumpang yang sarat dengan 78 individu itu ditahan ketika APMM sedang melaksanakan rutin rondaan dan operasi khas Mardof di perairan Selangor semalam.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati terdapat dua lelaki tempatan masing-masing berusia 60 tahun yang bertindak selaku nakhoda bot dan kru berusia 18 tahun.

“Bot itu turut melakukan pelbagai kesalahan lain mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana melanggar syarat sah lesen, iaitu lesen dan insurans telah tamat tempoh serta melakukan pengubahsuaian yang jelas melanggar syarat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata bot dan nakhoda dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Selangor untuk tindakan lanjut manakala kes tersebut disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Sehubungan itu, beliau meminta komuniti maritim untuk sentiasa lebih peka dengan syarat lesen yang telah ditetapkan dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mereka yang  gagal mematuhi syarat sah lesen.  

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan