WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANALISIS KLIP VIDEO DIDAKWA SKANDAL RASUAH ADUN SABAH DIJANGKA SIAP DALAM SEMINGGU – AZAM BAKI

29/04/2025 01:45 PM

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Analisis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap klip video yang didakwa skandal rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berhubung isu pelesenan lombong mineral, dijangka siap dalam tempoh seminggu lagi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata laporan forensik terhadap 10 rakaman video yang tular sebelum ini telah diperoleh namun agensi itu masih memerlukan masa bagi meneliti kesemua bahan bukti dengan teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya jangka dalam seminggu lagi (hasil analisis) akan keluar. Saya pun ada bertanya (perkembangannya) dengan pegawai saya kerana tidak mahu perkara ini dilambatkan,” katanya kepada media selepas menghadiri Persidangan Antirasuah Asia Tenggara 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata proses penelitian memerlukan masa kerana melibatkan sejumlah rakaman dan SPRM mahu memastikan siasatan dijalankan secara adil dan menyeluruh.

“Semua pihak bertanya kenapa lambat dan sebagainya. Kita kena faham, ini melibatkan 10 video bukan satu, jadi kita kena tengok dan teliti betul-betul.

 “Kita kena adil. Kalau tidak nanti ada pihak mempertikaikan pula, adakah ini satu forensik yang adil atau tidak. Jadi kita kena buat dengan cara yang elok,” katanya.

Baru-baru ini, tular beberapa rakaman video yang didakwa menunjukkan perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berhubung isu pelesenan mineral di negeri itu.

SPRM sebelum ini memaklumkan telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu dan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk analisis forensik digital terhadap bahan bukti berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan