WILAYAH - TENGAH > BERITA

SIASATAN KES RASUAH BEKAS PERDANA MENTERI ISMAIL SABRI CAPAI 15-20 PERATUS – AZAM BAKI

29/04/2025 01:39 PM

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini mencapai tahap antara 15 hingga 20 peratus, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata siasatan masih berjalan dan Ismail Sabri dijangka dipanggil memberi keterangan dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi.

“Kita akan memanggil beliau dalam tempoh dua minggu kerana ada beberapa dokumen yang kita minta beliau sediakan. Kes ini masih berjalan dan seperti saya nyatakan, ia berkaitan dengan pengisytiharan harta.

"Apabila melibatkan siasatan pengisytiharan harta, prosesnya memang mengambil sedikit masa kerana individu yang diberi notis perlu menjelaskan punca harta tersebut bagi memuaskan hati SPRM sebagai agensi penyiasat,” katanya kepada media selepas menghadiri Persidangan Antirasuah Asia Tenggara 2025 di sini, hari ini.

Azam menegaskan, yang penting adalah memastikan sama ada pengisytiharan harta itu benar atau sebaliknya.

“Sekiranya pengisytiharan itu didapati tidak benar atau tidak mencukupi, tindakan lanjut boleh diambil,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 3 Mac lepas, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri merupakan suspek dalam siasatan kes berkenaan susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas di sebuah rumah yang dijadikan 'safe house' hasil serbuan SPRM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan