WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR HARAP HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA, MESIR TERUS KUKUH

29/04/2025 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap hubungan diplomatik dan persaudaraan antara Malaysia dan Mesir akan terus berkembang, khususnya dalam menghadapi isu-isu global yang semakin kompleks, menerusi pelbagai medium yang dinamik dan penuh hikmah.

Anwar, yang menerima kunjungan Duta Besar Mesir ke Malaysia Ragai Tawfik Said Nasr, hari ini berkata dalam pertemuan tersebut, beliau dimaklumkan bahawa hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sahabat semakin erat di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI.

“Kerjasama ini terserlah dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perdagangan serta pendidikan, antaranya melalui penubuhan Institut Bahasa Arab hasil kerjasama pintar antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Al-Azhar di Kaherah.

“Selain itu, terdapat juga kerjasama kemanusiaan menerusi bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza, serta sektor pelancongan yang menunjukkan perkembangan positif di kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hantaran itu turut berkongsi beberapa keping gambar pertemuan Anwar bersama delegasi Mesir yang berlangsung di Perdana Putra, Putrajaya.

Ragai Tawfik, yang telah berkhidmat sebagai Duta Besar Mesir ke Malaysia selama hampir empat tahun, akan tamat perkhidmatannya esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan