KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Satu pelan pemulihan menyeluruh bagi membantu mangsa insiden letupan saluran gas di Putra Heights akan diumumkan minggu ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Menurut Nga perkara itu akan diumumkan beliau bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
“Berita baik akan dibawa oleh Kerajaan MADANI kepada mangsa-mangsa kebakaran Putra Heights pada minggu ini,” katanya menerusi hantaran di laman sosial X, hari ini.
Kejadian pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
Sementara itu, Pejabat Menteri Besar Selangor memaklumkan satu majlis penyerahan bantuan wang sewa serta pengumuman usaha pembinaan semula serta pembaikan rumah bagi mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights akan diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, 12 tengah hari esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial