WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGALAMAN TERINDAH KALI KEDUA TAWAN GUNUNG KINABALU - TEO NIE CHING

30/04/2025 09:51 PM

RANAU, 30 April (Bernama) -- Satu pengalaman yang sangat indah apabila berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu buat kali kedua, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata kali pertama menawan Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara pada 2008 ketika berusia 27 tahun.

“Ya, ini pengalaman yang sangat indah apabila saya berjaya ke puncak Gunung Kinabalu buat kali kedua dan saya berasa tidak lagi sekuat seperti kali pertama mendaki. Saya mula mendaki dari Pondok Timpohon pada 9.05 pagi semalam bersama 50 pendaki.

“Saya berjaya sampai di kem Panalaban dalam masa 5 jam 20 minit. Selepas itu, pagi tadi saya naik ke puncak Gunung Kinabalu pukul 2.30 pagi dan tiba dalam masa tiga jam, sebelum meneruskan perjalanan balik ke Pondok Timpohon dan sampai pukul 3.25 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kinabalu Park dekat sini selepas melakukan pendakian berkenaan.

Gunung Kinabalu atau dikenali Aki Nabalu dalam bahasa Kadazandusun membawa maksud gunung nenek moyang berketinggian 4,095.2 meter iaitu tertinggi di Asia Tenggara dan terletak di daerah Ranau kira-kira 90 kilometer arah timur dari Kota Kinabalu.

Teo berkata tujuan beliau mendaki Gunung Kinabalu adalah untuk meninjau kerja-kerja naik taraf perkhidmatan pos di puncak gunung berkenaan.

“Sebenarnya pos ini sudah ada sejak 10 tahun lepas dan kebetulan pada masa itu yang merasmikan pos berkenaan (ketika itu) Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

“Oleh itu saya sebagai Timbalan Menteri Komunikasi setuju bersama-sama mendaki untuk meninjau pos berkenaan apabila dipelawa oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pos Malaysia,” katanya.

Pos Malaysia melancarkan peti pos pertamanya di Gunung Kinabalu pada 2015, sekali gus mencipta nama dalam Malaysia Book of Records sebagai peti surat yang berada pada altitud tertinggi iaitu 3,289 meter dari aras laut.

-- BERNAMA

 

TAG: Sabah, Teo Nie Ching, Gunung Kinabalu, Pos Malaysia, MCMC 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan