RANAU, 30 April (Bernama) -- Langkah penambahbaikan perkhidmatan pos di Gunung Kinabalu akan memberi manfaat kepada pelancong terutama dalam memastikan kualiti pengalaman mereka dipertingkat seiring dengan kemajuan teknologi, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata ketersediaan perkhidmatan pos di Gunung Kinabalu bukan sekadar kemudahan semata-mata sebaliknya menjadi lambang ikonik komunikasi sehala yang menghubungkan dunia dari puncak tertinggi di Malaysia itu sebagai tanda kenangan bermakna.
“Saya mendaki Gunung Kinabalu untuk meninjau penaiktarafan pos berkenaan sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mempromosikan perkhidmatan pos di Gunung Kinabalu yang telah ditambah baik, keunikan reka bentuk poskad edisi terhad dan pengenalan kepada cop pembatalan baharu khusus untuk poskad yang dihantar dari Gunung Kinabalu,” katanya.
Teo berkata demikian kepada pemberita di Kinabalu Park dekat sini selepas melakukan pendakian itu pagi semalam hingga hari ini.
Gunung Kinabalu, atau dikenali sebagai Aki Nabalu, dalam bahasa Kadazandusun membawa maksud gunung nenek moyang berketinggian 4,095.2 meter dan terletak di daerah Ranau, kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu.
Pos Malaysia melancarkan peti pos pertamanya di Gunung Kinabalu pada 2015 sekali gus mencipta nama dalam Malaysia Book of Records sebagai peti surat yang berada pada altitud tertinggi iaitu 3,289 meter dari aras laut.
Sementara itu, kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengenai program itu memaklumkan sebagai langkah berterusan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan telekomunikasi di kawasan beraltitud tinggi, sesi pengujian kualiti perkhidmatan menggunakan aplikasi MCMC Nexus telah dilaksanakan.
Menurut kenyataan itu, aplikasi yang dibangunkan MCMC membolehkan pemantauan, penilaian menyeluruh dan analisis yang cenderung terhadap pengalaman pelanggan termasuk titik sentuh seperti di Gunung Kinabalu dilakukan.
“Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi dan MCMC akan terus memperkasa infrastruktur komunikasi di kawasan strategik pelancongan seperti Gunung Kinabalu demi keselesaan para pengunjung.
“Kerjasama secara berterusan antara agensi kerajaan, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dengan pihak berkepentingan adalah signifikan dalam merealisasikan agenda penambahbaikan perkhidmatan pos,” katanya.
Menurut MCMC, bidang komunikasi serta perkhidmatan pos bukan sahaja meningkatkan kemudahan untuk rakyat dan pelancong malah turut mengharumkan nama negara sebagai persediaan menjelang penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial