WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UDA HOLDINGS LANTIK JOHARI SHUKRI JAMIL SEBAGAI PRESIDEN/KPE BAHARU 

02/05/2025 01:13 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- UDA Holdings Bhd (UDA) mengumumkan pelantikan Johari Shukri Jamil sebagai presiden/ketua pegawai eksekutif (KPE) berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Mohd Salem Kailany.

Dalam kenyataannya, UDA berkata pengalaman Johari Shukri selama lebih 28 tahun dalam sektor korporat dan kepimpinan, pencapaian dalam perubahan transformasi serta penciptaan nilai diharap dapat menjadi tunjang dalam mengemudi fasa pertumbuhan UDA.

Pengerusi UDA Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata pelantikan itu telah dipersetujui oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Adalah diharapkan Johari Shukri berupaya menyuntik idea dan pembaharuan menerusi dimensi, kaedah dan pendekatan baharu selain mengutamakan objektif asal penubuhan UDA bagi memenuhi agenda pembangunan sosial dan ekonomi Bumiputera,” katanya.

Jawatan lain yang pernah disandang Johari Shukri termasuk sebagai naib presiden eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Pejabat Transformasi di Iskandar Investment Bhd selain pelbagai jawatan kanan dalam beberapa syarikat di bawah Johor Corporation.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan