KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyelamatkan 10 remaja perempuan warga asing bawah umur yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks dalam serbuan di sebuah premis spa dan pusat urut di Johor Bahru, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata siasatan awal menggunakan panduan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI 2.0) mendapati kesemua mangsa terdiri daripada enam warga Vietnam dan empat warga Indonesia itu dipercayai turut menjadi mangsa penipuan pekerjaan, tidak dibayar gaji atau upah, dikawal pergerakan dan pasport dipegang pihak lain.
Beliau berkata kesemua mangsa diselamatkan dan ditempatkan di rumah perlindungan serta siasatan dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
Selain itu, Zakaria berkata pemeriksaan terhadap premis itu turut membawa kepada penahanan 37 wanita warga Vietnam dan 16 wanita warga Indonesia berumur antara 18 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran.
“Siasatan awal mendapati perkhidmatan pelacuran itu ditawarkan kepada pelanggan tertentu melalui aplikasi WeChat dan WhatsApp dengan bayaran antara RM200 hingga RM300 sejam bergantung pada pakej serta tempoh perkhidmatan.
“Wanita-wanita ini dipercayai mampu meraih keuntungan sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 sebulan hasil kegiatan tidak bermoral itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata sebanyak 11 lelaki warga Indonesia, Vietnam dan Bangladesh yang dipercayai bekerja sebagai pekerja pembersihan serta tujuh lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai pemilik premis, "kapten" atau penjaga wanita warga asing berkenaan turut ditahan dalam operasi terbabit.
Beliau berkata pihaknya turut menemukan wang tunai berjumlah RM128,464 yang dipercayai hasil daripada kegiatan terbabit.
“Ketika serbuan dijalankan pada 3.15 petang, beberapa wanita sedang melayan pelanggan termasuk warga tempatan dan pelancong asing manakala sebahagian lagi bersembunyi di dalam bilik rahsia yang dipercayai dibina untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Zakaria berkata warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1969/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Selain itu, beliau berkata individu tempatan yang bertindak sebagai "kapten" turut disiasat di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Operasi yang dijalankan hasil aduan awam dan risikan oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM serta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu disertai 58 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, JIM Negeri Sembilan dan JIM Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial