WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DANISH IFTIKHAR KEJUTKAN KHAIRUL HAFIZ, JONATHAN

03/05/2025 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Pelari muda Johor Danish Iftikhar Muhammad Roslee mencipta kejutan apabila muncul juara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Merdeka di sini hari ini. 

Atlet berusia 18 tahun itu menewaskan juara Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 Khairul Hafiz Jantan dan pelari kebangsaan Jonathan Nyepa apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan 10.57 saat (s) sekali gus menyambar pingat emas. 

Danish Iftikhar berkata beliau tidak menyangka mampu mencipta kejayaan itu kerana hanya memberi fokus untuk menamatkan larian sebaik mungkin. 

"Alhamdulillah. Memang saingan yang hebat daripada pelari lain. Niat kerana Allah. Saya cuma buat yang terbaik, selebihnya saya serahkan kepada Allah.

"Saya buat yang terbaik kerana ini adalah catatan terpantas (musim ini) dan saya sudah berikan sepenuh usaha. Ini adalah musim terbaik saya. Alhamdulillah, saya sangat puas hati. Tapi insya-Allah, saya akan cuba buat lebih baik," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Jonathan yang berlari di lorong tiga merupakan antara pelari pilihan namun terpaksa akur dengan pingat perak selepas mencatat 10.66s manakala wakil Pulau Pinang, Tan Zhi Hang di tempat ketiga dengan catatan 10.70s.

Bagi kategori wanita pula menyaksikan Zaidatul Husniah Zulkifli menepati ramalan apabila mengungguli acara 100m dengan catatan masa 11.72s.

Menurut Zaidatul Husniah pencapaian tersebut dilihat sebagai permulaan yang baik untuknya musim ini.

“Saya sangat bersyukur dengan catatan 11.72s. Bagi saya, itu sudah cukup menggembirakan kerana ia merupakan rekod terbaik saya untuk permulaan musim ini,” katanya. 

Tempat kedua menjadi milik Nur Aishah Rofina Aling yang mewakili Kesatuan Olahraga Sabah dengan catatan 11.80s manakala tempat ketiga disandang Azreen Nabila Alias daripada pasukan kebangsaan dengan masa 11.83s.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan