WILAYAH - TIMUR > BERITA

FESTIVAL UNGGAS ASEAN KUKUHKAN JALINAN KOMUNITI SERUMPUN DI KELANTAN

03/05/2025 08:24 PM

KOTA BHARU, 3 Mei (Bernama) -- Festival Unggas ASEAN 2025 anjuran kerajaan negeri Kelantan yang julung kali diadakan hari ini, menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti negara anggota apabila menerima hampir 1,000 penyertaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor berkata penganjuran festival itu juga, merupakan usaha kerajaan negeri memperkenalkan Kelantan di peringkat antarabangsa.

“Kami sangat berpuas hati dengan sambutan yang diterima…Ia menggambarkan perkongsian minat yang sama dalam pertandingan, sekali gus menjadi daya tarikan pelancongan serta membuka peluang kepada peminat unggas untuk menjana pendapatan dan mengukuhkan hubungan antara negara ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Unggas ASEAN 2025, di sini, hari ini.

Festival tersebut menampilkan lima kategori pertandingan iaitu burung ketitir, tekukur, candik, ayam serama dan ayam ratu dan akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan tahunan negeri.

Kamarudin berkata festival itu, menerima penyertaan tertinggi dari Thailand iaitu seramai 100 peserta, diikuti Indonesia (10), Singapura (lima) dan Brunei (dua).

Sementara itu, pemenang kategori seni suara burung ketitir Sabri Ab Latif, 51, dari Pattani, Thailand berkata beliau mula berkunjung ke Kelantan sejak berusia 25 tahun, kerana minat terhadap unggas tersebut.

Sabri yang memelihara 30 ekor burung ketitir berkata melalui hobi itu beliau berjaya mewujudkan jaringan kenalan di seluruh negara, terutamanya di Kelantan, malah ramai yang mendapatkan benih kacukan daripada ternakannya.

“Aktiviti ini bukan sahaja hobi yang menguntungkan, tetapi juga wadah untuk mengenali budaya dan kesenian negara-negara ASEAN termasuk Malaysia,” katanya.

Juara kategori burung tekukur Nordin Lae Mina, 42, dari Songkla, Thailand pula berkata beliau mula belajar bahasa Melayu selepas beberapa kali menyertai pertandingan burung di Malaysia.

“Sebelum ini saya langsung tidak faham bahasa Melayu, namun selepas beberapa tahun menyertai pelbagai pertandingan di Malaysia, saya mula menguasainya,” katanya.

Bekas guru itu kini mengusahakan penternakan burung secara sepenuh masa dan memiliki hampir 200 ekor unggas kerana minat mendalam dalam bidang tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan