WILAYAH - TENGAH > BERITA

REMAJA ENGGAN PULANG KE ASRAMA DILAPOR HILANG

05/05/2025 12:19 AM

KUANTAN, 4 Mei (Bernama) -- Seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pekan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga, dipercayai kerana enggan kembali ke asrama.

Mangsa, Anas Baihaqi Miqdad Johari, 13, disedari hilang oleh ibunya kira-kira 4 petang tadi selepas mendapati remaja itu tidak berada di dalam bilik tidur.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Zahari Wan Busu berkata sebelum kejadian, ibu mangsa berusia 41 tahun memaklumkan Anas Baihaqi masih berada di rumah sekitar pukul  3.30 petang.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, pengadu menyedari anaknya tiada lalu mencarinya di sekitar kawasan perumahan tetapi gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau semakan awal mendapati remaja berkenaan memakai kemeja-T merah, seluar trek hitam dan kasut sukan jenama Puma ketika keluar dari rumah.

Katanya hasil siasatan mendapati mangsa sebelum ini pernah menyuarakan keengganan untuk pulang ke asrama kerana tidak sanggup berjauhan daripada keluarga.

“Dia juga didapati membawa bersama telefon bimbit milik adiknya, yang masih boleh dihubungi namun tiada sebarang jawapan. Remaja itu turut membawa kasut sukan, beg galas sekolah dan wang tunai kira-kira RM200,” katanya.

Wan Zahari berkata ini merupakan kali pertama remaja berkenaan dilaporkan hilang dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan serta usaha mengesannya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat kelibat remaja ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan