WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR UCAP TAHNIAH KEPADA ANTHONY ALBANESE

03/05/2025 10:57 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Australia Anthony Albanese atas kemenangan pilihan raya penggal kedua selepas kempen yang penuh bersemangat.

Anwar menerusi hantaran Facebook berkata keputusan yang diumumkan dalam masa yang singkat itu menandakan suatu kejayaan yang signifikan, menunjukkan suatu keputusan yang jelas dan yakin daripada rakyat Australia.

"Australia memainkan peranan penting di Asia Pasifik. Perhatian kerajaan Albanese terhadap Asia Tenggara semasa penggal pertama sememangnya dirasai dan kami berharap semangat penglibatan itu akan berterusan.

“Memandangkan rantau ini berdepan cabaran baharu dan transformasi, kami berharap dapat bekerjasama untuk memastikan kestabilan, meningkatkan daya tahan dan membentuk masa depan yang makmur bersama,” katanya.

Parti Buruh berhaluan tengah pimpinan Albanese memenangi penggal kedua pilihan raya persekutuan Australia, menurut penyiar awam negara itu, lapor Xinhua.

Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) pada Sabtu melaporkan Parti Buruh telah memenangi majoriti daripada 150 kerusi di Dewan Rakyat Parlimen ke-48 bagi membentuk kerajaan sekali gus menjadikan Albanese pemimpin pertama mana-mana parti utama yang memenangi pilihan raya negara itu berturut-turut sejak 2004.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan