WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WARREN BUFFETT UMUM BERSARA SEBAGAI CEO BERKSHIRE HUJUNG TAHUN INI

04/05/2025 11:27 AM

ISTANBUL, 4 Mei (Bernama-Anadolu) -- Warren Buffett, Ketua Pegawai Eksekutif Berkshire Hathaway yang kini berusia 94 tahun mengumumkan rancangan untuk bersara pada Mesyuarat Pemegang Saham Tahunan syarikat itu bagi 2025 yang berlangsung pada Sabtu, sekali gus menamatkan tempoh perkhidmatannya selama 55 tahun, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pengumuman yang dibuat di Omaha City, Nebraska disambut dengan tepukan gemuruh yang berpanjangan daripada para hadirin, dan Buffett berseloroh: “Semangat yang ditunjukkan menerusi reaksi itu boleh ditafsirkan dalam dua cara, tetapi saya akan anggap ia sebagai penghargaan.”

Buffett menamakan Naib Pengerusi Berkshire, Greg Abel, 62, yang kini menyelia semua perniagaan sebagai penggantinya.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk Greg memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada hujung tahun ini,” kata Buffett, sambil menegaskan bahawa sudah sampai waktunya untuk peralihan kepimpinan.

Dalam mesyuarat itu, Buffett turut menyuarakan kebimbangan terhadap dasar tarif Presiden Donald Trump dan memberi amaran bahawa penggunaan perdagangan sebagai senjata boleh mencetuskan ketidakstabilan global.

Beliau menyeru kepada hubungan perdagangan yang seimbang serta kemakmuran global dan mengkritik penggunaan tarif secara meluas.

“Kita sepatutnya berdagang dengan dunia. Kita lakukan apa yang kita mahir, dan mereka pula lakukan apa yang mereka mahir,” katanya.

Sejak menerajui syarikat itu pada 1970, kepimpinan Buffett mengubah Berkshire daripada sebuah kilang tekstil bermasalah kepada konglomerat pelbagai sektor yang kini bernilai lebih US$1 trilion.

Pemilikan besar syarikat itu termasuk syarikat insurans GEICO, landasan kereta api BNSF, syarikat tenaga, hartanah HomeServices, serta kepentingan utama dalam syarikat-syarikat besar seperti American Express.

-- BERNAMA-ANADOLU



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan