WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS SERBU 10 PUSAT HIBURAN, TAHAN 38 INDIVIDU

04/05/2025 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Sebanyak 38 individu berusia 22 hingga 48 tahun ditahan dalam Op Mega Noda yang dijalankan polis di 10 premis hiburan tanpa lesen di sekitar ibu negara, Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata mereka yang ditahan dalam operasi bermula 12 tengah malam itu terdiri daripada tujuh warga tempatan manakala bakinya warga Bangladesh, Uganda, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Kenya dan India.

“Siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan membabitkan penjaga kaunter, pekerja warga asing, pelayan khidmat pelanggan (GRO) dan pelacur serta hasil operasi turut merampas peralatan pusat hiburan, kamera litar tertutup (CCTV) dan wang tunai RM2,892," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain tiada lesen hiburan sah, pemeriksaan mendapati kesemua premis terbabit tidak memiliki lesen minuman keras dan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja sah.

Difahamkan, polis turut mengesan kegiatan pelacuran di premis di Jalan Changkat dan Jalan Nagasari di sini membabitkan warga Uganda, Kemboja dan Kenya dengan bayaran RM180 hingga RM200 menerusi operasi terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 372B dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan