WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MINGGU SAINS NEGARA 2025 LIBATKAN PELAJAR LUAR BANDAR DAN PEDALAMAN

05/05/2025 12:25 AM

KOTA SAMARAHAN, 4 Mei (Bernama) -- Minggu Sains Negara (MSN) 2025 yang bermula hari ini hingga penghujung tahun turut melibatkan penyertaan pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman menerusi program Kembara Sains Borneo.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata program itu bertujuan menarik minat pelajar terhadap bidang sains serta teknologi termasuk mereka yang kurang mendapat akses pendidikan berkualiti.

“Sebanyak 30 sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak telah dipilih untuk program ini yang dijangka memberi manfaat kepada 30,000 pelajar iaitu 14 di Sarawak dan 16 di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Minggu Sains Negara 2025 di Kampus Universiti Teknologi MARA di sini malam ini.

Ketika berucap pada majlis itu, Chang berkata penganjuran MSN tahun ini merupakan edisi kelapan sejak ia diperkenal pada 2018.

“Usaha ini adalah komitmen MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kehidupan rakyat Malaysia secara konsisten serta berterusan.

“Dalam memastikan momentum kejayaan penganjuran MSN diteruskan pada tahun ini, MOSTI mengekalkan pendekatan pelaksanaan MSN secara menyeluruh sehingga ke akar umbi melalui pelaksanaan aktiviti secara fizikal di sebahagian besar lokasi di Borneo dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Chang berkata pelaksanaan MSN adalah selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada elemen daya cipta iaitu satu daripada enam tonggak utama MADANI untuk kesiapsiagaan negara melalui peningkatan penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi dan data raya.

“Berdasarkan sambutan positif tahun lepas, MOSTI menyasarkan lebih 300,000 penyertaan tahun ini menerusi lebih 50 aktiviti dan pengisian menarik yang dirancang bagi memastikan impak program kekal berterusan, relevan serta menyeluruh kepada semua kumpulan sasaran,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan MADANI turut memandang serius mengenai bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seiring dengan keperluan Malaysia untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional tempatan dalam bidang tersebut bagi mencapai sasaran negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Bertemakan 'Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi, Mengarusperdanakan Inovasi' MSN 2025 menekankan aspek keterlibatan semua lapisan masyarakat dalam menyemarakkan inovasi sains sejajar dengan kepesatan teknologi terkini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan