SANDAKAN, 5 Mei (Bernama) -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata bahan-bahan yang terdapat dalam simpanan Arkib Negara Malaysia (ANM) boleh dimanfaatkan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan menerusi Program Arkib@Sekolah: Bermulanya Di sini.
Beliau berkata program berkenaan dapat memberi ruang kepada pelajar untuk mendekati sejarah secara lebih interaktif, kreatif dan bermakna selain pembentukan jati diri dalam kalangan murid sekolah.
"Program ini adalah usaha untuk semai kembali sejarah ke peringkat sekolah dan di sekolah juga ada subjek sejarah. Program seperti ini kita akan perluaskan ke sekolah lain di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Arkib@Sekolah: Bermulanya Di Sini di Sekolah Menengah St Mary di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.
Aaron berharap ANM dapat bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperluas pelaksanaan Program Arkib@Sekolah.
Sementara itu, Jaafar Sidek berkata ANM telah mendigitalkan lebih 11 juta bahan dokumen boleh dirujuk dalam talian.
"Kita memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat termasuk pelajar, tenaga pendidik untuk mengakses bahan berkenaan. Jadi boleh memasuki laman web Arkib Negara Malaysia untuk ini," katanya.
Mengenai Program Arkib@Sekolah: Bermulanya Di Sini, Jaafar Sidek berkata pihaknya akan membimbing sekolah-sekolah untuk mengumpul bahan sejarah termasuk majalah sekolah yang boleh dijadikan bahan arkib.
Beliau berkata program yang dilancarkan hari ini akan diperluas ke Kedah dan Kelantan.
Program Arkib@Sekolah: Bermulanya Di Sini bertujuan mendekatkan pelajar sekolah dengan sumber arkib negara serta memupuk rasa cinta kepada negara melalui penerapan nilai kenegaraan sejak di bangku sekolah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial