KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Tan Chong Motor Holdings Bhd memeterai perjanjian komitmen pelaburan dengan SAIC GM Wuling Automobile Co Ltd (SGM Wuling) untuk memperkenalkan jenama kereta TQ WULING ke pasaran Malaysia.
SGM Wuling merupakan syarikat automotif terkemuka dari China yang terkenal dengan pengeluaran kereta elektrik dan kenderaan elektrik hibrid plug-in dengan model enjin pembakaran dalaman, serta kenderaan pengangkutan penumpang dan kenderaan komersial.
Perjanjian kerjasama itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tan Chong Motor Group Daniel Ho manakala SGM Wuling diwakili Presiden PT SGMW Motor Indonesia Tang Wensheng dan Pengarah Komersial Bahagian Perniagaan Luar Negara dan Pusat Kejuruteraan Sun Dazhi.
Majlis menandatangani perjanjian berkenaan disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Ho berkata model pertama yang akan dipasang di bawah jenama TQ WULING ialah TQ WULING Bingo, sebuah hatchback kompak yang dijangka menjadi antara kenderaan elektrik (EV) paling mampu milik di Malaysia.
Dijadual untuk pelancaran pada suku keempat 2025, Bingo direka khas untuk pemandu di kawasan bandar, menawarkan penyelesaian mobiliti yang mudah diakses, pintar dan cekap.
“TQ WULING Bingo disasarkan pada harga bawah RM100,000 seunit dan kami percaya ia mampu menjadi penyelesaian EV yang kompetitif dan mampu milik untuk pengguna di Malaysia,” kata beliau dalam ucapannya di sini, hari ini.
Sementara itu, Tang berkata pengeluaran kumulatif SGM Wuling telah mencecah 30 juta unit, dengan kereta Wuling dijual di lebih 60 buah negara di seluruh dunia setakat tahun lalu.
Beliau berkata syarikat itu telah menubuhkan kemudahan pengeluarannya di Malaysia, Indonesia, India dan Vietnam bagi menyokong pembangunan global jenama Wuling.
“Kami percaya bahawa dengan sokongan kukuh daripada kerajaan Malaysia, SGM Wuling dan Tan Chong Motor Group pasti dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan kami sama ada dalam produk-produk EV dan teknologi teras atau dalam rantaian tempatan dan inovasi perniagaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial