WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SESI LATIH AMAL KESELAMATAN KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA 2025 BERMULA HARI INI DI KLCC

05/05/2025 04:53 PM

PUTRAJAYA, 5 Mei (Bernama) -- Sesi Latih Amal Keselamatan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama tiga hari bermula hari ini, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN).

MKN dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi latihan itu akan melibatkan pengujian secara keseluruhan Pelan Tindakan Kecemasan berpandukan Arahan MKN No.18 iaitu Dasar serta Mekanisme Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan.

Menurut MKN, sesi latihan itu merangkumi tiga fasa iaitu Simposium Diplomat Minda merangkumi taklimat persediaan dan input semasa mengenai latih amal hari ini disusuli Table Top Exercise (TTX) esok iaitu perbincangan secara simulasi sebelum berakhir pada Rabu dengan Field Training Exercise (FTX) iaitu mengenai simulasi serta demonstrasi.

“Sepanjang latihan ini terutama pada Rabu, orang ramai diminta bertenang dengan pelaksanaan simulasi yang melibatkan pergerakan aset dan anggota keselamatan di sekitar kawasan KLCC,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa sesi latihan tersebut diadakan bagi memastikan semua agensi yang terlibat berada dalam kesiapsiagaan tertinggi dan terkoordinasi.

Sesi latihan itu diadakan susulan langkah MKN mengaktifkan Pasukan Pengurusan Krisis bersama agensi keselamatan bagi mengukuhkan pertahanan, keselamatan negara dan ketenteraman awam sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Tinjauan di laman sesawang myasean 2025.my mendapati antara mesyuarat yang akan berlangsung mulai 24 Mei ini ialah Mesyuarat Kumpulan Kerja Majlis Penyelarasan ASEAN ke-19 mengenai Permohonan Keanggotaan ASEAN oleh Timor-Leste (ACCWG), Mesyuarat Menteri Luar ASEAN serta Mesyuarat Menteri Luar ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan, mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN terdiri daripada 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala keahlian penuh Timor-Leste masih dalam proses.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan