Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 5 Mei (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Kemboja Hun Sen menggesa ASEAN supaya beralih daripada peranan reaktif kepada proaktif dalam membentuk tadbir urus global, ke arah mewujudkan sebuah sistem antarabangsa yang lebih saksama.
Berucap di Ibu Pejabat ASEAN di Jakarta pada Isnin, beliau menekankan peralihan ke arah dunia multipolar, yang menyaksikan lebih banyak negara mempunyai pengaruh dalam hal ehwal global.
“Dalam konteks ini, ASEAN mempunyai peranan penting untuk membentuk suatu orde dunia berasaskan kerangka perundangan dan asas demokrasi serta keadilan yang lebih kukuh,” katanya dalam ucapan dasar sempena sambutan ulang tahun ke-26 penyertaan Kemboja dalam ASEAN.
Beliau turut menyentuh mengenai penarikan diri kuasa-kuasa besar daripada sistem global yang mereka sendiri bantu wujudkan, yang kini terhakis akibat kemunduran multilateralisme dan pengabaian terhadap kedaulatan undang-undang.
Dalam masa yang sama, kuasa-kuasa baharu menuntut sistem tadbir urus yang mencerminkan dinamik kuasa global yang semakin berubah, katanya.
Hun Sen menekankan bahawa ASEAN kini muncul sebagai pemain global utama, berkembang melampaui peranannya sebagai institusi serantau.
Kini selaku Presiden Senat Kemboja, beliau menyifatkan ASEAN sebagai satu pemain global yang dinamik dan semakin diiktiraf oleh kuasa-kuasa antarabangsa.
“Dengan lebih 670 juta penduduk - ketiga terbesar di dunia - dan ekonomi kelima terbesar, peranan ASEAN dalam membentuk kerangka tadbir urus global adalah penting dan tidak boleh diketepikan,” katanya.
Kemboja menyertai ASEAN pada 30 April 1999 dan telah tiga kali mempengerusikan blok itu iaitu pada 2002, 2012 dan 2022. Negara itu bekerjasama rapat dengan negara anggota lain untuk membina komuniti berasaskan tanggungjawab bersama dan pembangunan berteraskan rakyat.
Hun Sen kini dalam lawatan ke Indonesia dari 5 hingga 7 Mei atas jemputan Sekretariat ASEAN dan Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) untuk menyampaikan ucapan berhubung penyelesaian konflik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial