NIBONG TEBAL, 5 Mei (Bernama) -- Seorang pekerja wanita sebuah syarikat swasta kerugian RM489,550 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon atau Macau Scam di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata wanita berusia 39 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mengaku sebagai pegawai polis pada 17 Feb lepas, sebelum mendakwa mangsa terlibat dalam satu kes jenayah.
"Individu itu mendakwa mangsa perlu membuat bayaran untuk menyelesaikan siasatan yang kononnya sedang dijalankan ke atasnya malah suspek turut mengugut supaya tidak memaklumkan perkara itu kepada sesiapa.
"Wanita itu melakukan 47 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke 13 akaun bank berbeza berjumlah RM256,550 dan membuat 12 transaksi deposit wang tunai RM233,000 melalui mesin deposit tunai (CDM) ke dalam empat akaun bank berbeza dengan kesemuanya berjumlah RM489,550," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan kejadian itu kepada adik lelakinya dan membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Bakap, semalam.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial