WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AGENDA DIGITAL LONJAK DAYA SAING, PERKUKUH EKONOMI BERASASKAN TEKNOLOGI - PAKAR

06/05/2025 12:48 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Agenda digital yang digerakkan kerajaan merupakan inisiatif strategik, yang berpotensi meletakkan Malaysia pada landasan tepat sebagai hab digital serantau, seiring transformasi negara ke arah ekonomi berasaskan teknologi.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Abdul Hadi Abd Rahman berkata pelaksanaan agenda digital, telah menerima sambutan positif daripada pelbagai pihak termasuk pemain industri utama, sekali gus merangsang permintaan terhadap bakat tempatan dan mempercepatkan pembangunan kemahiran teknologi.

“Namun, kejayaan agenda digital amat bergantung kepada tahap kesedaran dan penerimaan teknologi dalam kalangan penjawat awam, khususnya dari aspek penerimagunaan serta pengadaptasian sistem digital dalam sektor kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut dijangka meraih manfaat menerusi pembangunan penyelesaian berasaskan teknologi, yang menepati keperluan serta cabaran tempatan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem inovasi domestik, malah membantu meningkatkan daya saing ekonomi digital negara secara lebih inklusif dan menyeluruh,” katanya.

Dalam sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam berhubung isu tarif Amerika Syarikat (AS), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus mengutamakan penerimagunaan teknologi terkini, bagi memperkukuh daya saing negara dan memudah cara urusan perniagaan.

Mengulas keseriusan kerajaan dalam merealisasikan Malaysia sebagai hab digital serantau, Abdul Hadi berkata penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta pusat teknologi Pasca-Kuantum di Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan komitmen kukuh membina asas teknologi negara dari peringkat akar umbi.

“Langkah ini turut diperkuat melalui peruntukan khas kepada universiti penyelidikan yang memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata UKM juga menyahut inisiatif pendigitalan negara menerusi pelaksanaan Projek Nadi Utama Sintesis Aksara (NUSA) Bahasa Kebangsaan, yang berpusat di fakulti berkenaan.

“Inisiatif ini memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus menyokong Agenda Digital negara yang berteraskan budaya dan identiti kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Kerjasama Ketua-Ketua Pusat Pengajaran dan Pembelajaran IPTA Prof Dr Wan Zuhainis Saad berkata pembangunan kemahiran digital dan teknologi, perlu dilihat sebagai satu usaha berterusan sejajar dengan perubahan pesat dalam bidang seperti AI, data raya dan Internet Benda (IoT).

“Pendidikan fleksibel memberi peluang kepada pelajar, termasuk mereka di kawasan luar bandar untuk mengakses kursus berkualiti tinggi dalam bidang teknologi dan AI,” katanya.

Wan Zuhainis berkata pendekatan seperti modul diperibadikan, kursus pendek, unbundling dan micro-credential membolehkan rakyat, termasuk golongan pekerja, menambah nilai terhadap kemahiran mereka tanpa perlu mengikuti program formal yang panjang.

“Ia juga penting dalam mengurangkan jurang kemahiran antara generasi, serta menyokong pembinaan tenaga kerja yang bersedia menghadapi Revolusi Industri Keempat (IR4.0),” katanya.

Wan Zuhainis turut menekankan bahawa teknologi digital perlu diterokai secara meluas dalam sektor tenaga hijau dan kelestarian, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Beliau turut mencadangkan pelaburan berterusan dalam pendidikan STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) bagi mempersiapkan tenaga kerja masa depan dengan kemahiran digital yang lebih holistik dan relevan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan