WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PKR SELANGOR SOKONG NURUL IZZAH SEBAGAI CALON TIMBALAN PRESIDEN - AMIRUDIN

06/05/2025 11:02 PM

SHAH ALAM, 6 Mei (Bernama) -- PKR Selangor menyatakan sokongan terbuka terhadap pencalonan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti berkenaan. 

Pengerusi PKR Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata parti itu memerlukan Timbalan Presiden yang tidak terikat dengan pentadbiran kerajaan dan boleh memfokus kepada pengukuhan kekuatan dalaman selain mempersiapkan PKR bagi menghadapi Pilihan Raya Umum dengan strategi kukuh, struktur tersusun dan semangat yang segar. 

Menteri Besar Selangor itu berkata selain pemimpin mahir berpidato dan berkebolehan memenangi kerusi, parti berkenaan juga memerlukan pemimpin yang memahami denyut nadi akar umbi serta meletakkan parti mengatasi kepentingan peribadi. 

"Nurul Izzah bukan orang baharu. Beliau telah berjuang sejak muda, menjadi suara anak muda dalam zaman penuh getir, ditahan dan dihina namun tidak pernah meninggalkan medan perjuangan. Beliau membina nama bukan kerana keluarganya tetapi kerana keteguhan prinsip dan keberanian berdiri untuk kebenaran.

"Beliau juga telah membuktikan kredibilitinya dalam dua penggal sebagai Ahli Parlimen, Naib Presiden parti serta pemikir dasar yang komited. Dalam dan luar negara mengiktiraf ketokohannya tetapi yang paling utama, anggota parti tahu siapa beliau dan tahu apa yang telah dikorbankan untuk PKR," menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Amirudin turut meluahkan keyakinan bahawa menerusi pencalonan Nurul Izzah, barisan kepimpinan yang kuat dapat diwujudkan selain menyemai semula kepercayaan rakyat sekali gus memastikan PKR kekal relevan, progresif dan berwibawa. 

Beliau berkata kepimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Perdana Menteri, memerlukan gandingan mantap dan Nurul Izzah mampu menjadi rakan setia, penasihat jujur serta tenaga penggerak yang berani menyatakan kebenaran demi parti. 

"Kita perlukan kepimpinan yang bersedia toe the line bersama anggota, yang faham denyut nadi parti dan yang tidak meletakkan diri di atas tetapi di sisi perjuangan rakyat.

"Dengan penuh rasa tanggungjawab, kami berdiri teguh bersama Nurul Izzah. Semoga pencalonan ini menjadi permulaan kepada babak baharu perjuangan PKR yang lebih bersatu, matang dan membina," katanya. 

Nurul Izzah sebelum ini mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR yang berlangsung 24 Mei ini.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan