WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TPM AHMAD ZAHID CADANG PELAN PEMBANGUNAN BELIA DESA, LAHIRKAN GENERASI CELIK DIGITAL

08/05/2025 12:43 PM

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), merangka satu Pelan Pembangunan Belia Desa yang menyeluruh, bagi melahirkan generasi muda luar bandar yang bukan sekadar celik digital, tetapi juga berilmu, berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai cabaran dunia moden.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menekankan bahawa, pelan itu bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan melalui pewujudan Hab Gig Desa, malah mampu mencungkil kepimpinan muda sebagai Duta Belia Desa, suara dan wakil generasi baharu luar bandar.

“Melalui pelan ini, kita juga dapat memperkenalkan Program Pertukaran Belia Desa ASEAN yang membolehkan anak muda kita menimba ilmu dan pengalaman di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini hari ini.

Beliau menaruh keyakinan KKDW mampu merangka pelan tersebut dengan penglibatan menyeluruh semua agensi di bawah kementerian, menerusi sebuah platform atau jawatankuasa khas.

“Matlamat kita jelas, saya mahu Belia Desa Malaysia menembusi sempadan, meneroka dunia dan bersaing di pentas global. Mereka bukan hanya pewaris bangsa, tetapi aset strategik negara dan pemacu masa depan Malaysia,” katanya.

Mengulas amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat bersama pimpinan KKDW pada Mac, Ahmad Zahid berkata Anwar mahukan setiap projek asas luar bandar dilaksanakan dengan berkesan agar manfaatnya dapat dirasai dan dihargai oleh rakyat.

“Perdana Menteri juga mengingatkan agar pemantauan dijalankan dengan teliti dan menyeluruh, dengan laporan tepat disalurkan kepada Menteri Kabinet serta segala isu diselesaikan tanpa lengah,” katanya.

Sebagai langkah pelaksanaan, Ahmad Zahid mencadangkan KKDW menyediakan jadual prestasi bulanan yang menyeluruh dan telus, sebagai rujukan dalam merealisasikan projek serta penyampaian bantuan kepada rakyat.

Beliau turut menekankan keperluan data yang lengkap dan berasaskan fakta, supaya tiada kelompok sasaran yang tercicir daripada Agenda Transformasi Desa.

“Kita mesti bergerak berasaskan data, memimpin dengan maklumat dan bertindak dengan keyakinan. Panduan dan arah tuju sudah ada, kini tiba masanya kita fokus kepada tindakan sebenar yang memberi kesan di lapangan, bukan sekadar cantik di atas kertas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mempergiat sesi libat urus bersama ibu bapa dan pendidik, bagi menilai impak pelaksanaan Program Pra-Tahfiz KEMAS yang telah setahun berjalan.

“Libat urus ini penting untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan penambahbaikan, termasuk cadangan penubuhan Tabika Berkeperluan Khas,” katanya.

Ahmad Zahid berkata program seumpama ini, berperanan besar dalam menggerakkan mobiliti sosial komuniti luar bandar dan KKDW perlu memastikan setiap inisiatif benar-benar menyentuh kehidupan rakyat dan membawa perubahan yang bermakna.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan