WILAYAH - TENGAH > BERITA

KERJASAMA ‘BN, PH PLUS’ HADAPI PRN SABAH - AHMAD ZAHID

08/05/2025 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) menumpukan usaha untuk memperkuatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama politik di negeri itu akan melibatkan ‘BN, PH plus’ untuk membina kesepakatan yang utuh.

“Kita serah kepada kebijaksanaan BN Sabah dengan panduan daripada pusat untuk mencari jalan bijaksana bagi menentukan dominasi kesepakatan ini,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) dan Deklarasi Konvensyen Francais Asean (AFC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ahmad Zahid berkata BN sentiasa terbuka untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik, kerana parti itu mengamalkan prinsip ‘membuka pintu seluas-luasnya dan tidak menutup pintu serapat-rapatnya’. 

“Ertinya masih ada ruang yang luas bagi jalinan kerjasama jaringan politik di Sabah,” katanya. 

Mengenai pembahagian kerusi, Ahmad Zahid menyifatkan perkara itu masih terlalu awal untuk membuat keputusan kerana rundingan secara terperinci mengenainya akan dilakukan kelak.

“Terlalu pramatang untuk buat keputusan dan kita akan buat rundingan secara terperinci mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri yang bakal kita tanding,” katanya.

Sebelum ini BN Sabah mengesahkan akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir dilapor berkata baki 33 kerusi diberikan kepada Pakatan Harapan (PH).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan