WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GOLONGAN IBU DIINGAT BERHATI-HATI BIMBING ANAK GUNA TEKNOLOGI - NANCY SHUKRI

11/05/2025 06:04 PM

KOTA KINABALU, 11 Mei (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengingatkan golongan ibu supaya lebih berhati-hati dan berimbang terutama dalam membimbing anak-anak tentang penggunaan teknologi.

Dalam siaran media sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025, Nancy berkata golongan ibu muda ketika ini berdepan pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup yang tinggi.

“(Selain turut berdepan dengan) tekanan kerja dan keluarga, kekangan kewangan, kekurangan masa untuk diri sendiri serta beban tanggungjawab pendidikan anak-anak," katanya dalam siaran media itu yang dikeluarkan di sini hari ini.

Nancy berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memperkenal Dasar Wanita Negara 2025-2030 bertemakan "Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara" bertujuan memperkasa golongan wanita dan ibu merentasi semua lapisan masyarakat di negara ini.

Beliau berkata dasar itu turut menggariskan pelbagai inisiatif seperti Program Kasih Ibu Tunggal, Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal, MamaCare, Program Wanita Bangkit, Two Years Exit Programme, Gig@bit dan Volvo Iron Women.

Terdahulu, Nancy menghadiri Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 bertemakan “Sentuhan Kasih Ibu” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini.

Majlis anjuran KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara itu dirasmikan isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin dan turut dihadiri isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.

Menurut siaran media itu, Anugerah Ibu Inspirasi 2025 diberikan kepada Kasmirah Jaafar yang merupakan anak kelahiran Bekok, Johor tetapi menghabiskan lebih separuh daripada usianya di Sabah. 

Anugerah tersebut diberikan kepada Kasmirah melihat kepada perjuangan serta pengorbanan ibu tunggal itu dalam membesarkan lima anaknya dengan hasil titik peluh sebagai tukang jahit hingga masing-masing berjaya menjadi pendidik, doktor dan jurutera.

Istimewa sambutan Hari Ibu tahun ini turut menyaksikan Ikon Ibu Muda diperkenalkan buat julung kalinya dan dianugerahkan kepada Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah. 

Anugerah itu bagi menginspirasikan semangat Bella, ibu muda yang memanfaatkan sepenuhnya bakat dimiliki untuk bangkit daripada sejarah hidup penuh cabaran demi membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan