WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TPM, MENTERI KABINET UCAP SELAMAT HARI WESAK, SERU TERUS PUPUK SEMANGAT PERPADUAN

12/05/2025 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet hari ini mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada seluruh penganut agama Buddha di Malaysia, sambil menyeru rakyat terus memupuk semangat perpaduan, saling menghormati dan meraikan kepelbagaian budaya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran di Facebook menzahirkan harapan agar keunikan Malaysia yang meraikan pelbagai budaya dan tradisi terus menjadi kekuatan bersama yang dipelihara

“Malaysia terus menjadi contoh negara yang meraikan kepelbagaian budaya dan tradisi dalam semangat saling menghormati dan hidup harmoni. Semoga sambutan Hari Wesak tahun ini membawa makna yang istimewa kepada semua yang meraikannya,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula menyeru rakyat untuk terus menghayati semangat Malaysia MADANI yang menekankan prinsip hormat, ihsan serta saling meraikan kepelbagaian dan kemajmukan.

“Semoga jalinan ukhuwah, persaudaraan dan toleransi seluruh rakyat Malaysia dapat diperkukuhkan lagi. Marilah kita terus meraikan perpaduan dalam kepelbagaian demi negara Malaysia tercinta,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fadillah turut berharap agar sambutan Hari Wesak memberi sinar baharu kepada mereka yang meraikannya serta mempererat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Penganut agama Buddha di Malaysia hari ini meraikan sambutan Hari Wesak bagi memperingati kelahiran, pencerahan agung serta kematian pengasas agama itu Siddharta Gautama.

Sebagai cuti umum, sambutan ini lazimnya disertai dengan perhimpunan di kuil-kuil Buddha, nyanyian lagu keagamaan serta perarakan membawa ikon Buddha yang melambangkan kesucian.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan di Facebook turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wesak kepada seluruh penganut agama Buddha.

“Semoga semangat Hari Wesak yang menekankan belas ihsan, kebijaksanaan dan kesederhanaan terus menyuburkan nilai-nilai demi membangun Malaysia MADANI dan membina masyarakat yang beradab, sejahtera dan saling menghormati antara satu sama lain,” menurut hantaran itu.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wesak kepada semua penganut Buddha dan mendoakan semoga kasih sayang, kebijaksanaan, dan kebaikan sejagat mengiringi kehidupan mereka.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berharap agar perayaan ini menjadi detik penuh makna dalam memperkukuh semangat perpaduan, keharmonian, dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Mari kita terus memupuk nilai kasih sayang, kesyukuran dan toleransi demi kesejahteraan bersama. Selamat Menyambut Hari Wesak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula menyeru masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini agar terus memperkukuh semangat perpaduan, saling menghormati, dan menerima kepelbagaian sebagai kekuatan bersama.

“Semoga sambutan Hari Wesak ini membawa ketenangan jiwa, memperkukuh keharmonian, dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam membina Malaysia yang lebih aman dan makmur,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengajak seluruh rakyat Malaysia menanam nilai kemanusiaan, ihsan, dan hormat dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam sektor pertanian yang menjadi nadi penting kepada keterjaminan makanan negara.

“Petani, penternak dan nelayan kita memainkan peranan besar dalam memastikan kesejahteraan rakyat. Maka, perpaduan rakyat juga penting dalam menyokong dan memajukan sektor ini demi masa depan yang mampan.

“Marilah kita terus saling menghormati, memahami dan bekerjasama demi membina Malaysia yang aman, adil dan sejahtera untuk semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berharap agar perayaan ini disambut dengan penuh kemakmuran, kebahagiaan dan keharmonian, simbol perpaduan masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pula berharap sambutan itu membawa ketenangan, kedamaian dan memperkukuhkan lagi semangat perpaduan serta keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyeru masyarakat untuk terus menyemai semangat keharmonian, saling menghormati, dan memperkukuh perpaduan dalam negara yang dicintai ini.

“Selamat Menyambut Hari Wesak kepada seluruh masyarakat Malaysia beragama Buddha. Semoga hari yang penuh makna ini membawa ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan buat semua yang meraikannya,” katanya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berharap agar cahaya kebijaksanaan dan kasih sayang terus menerangi kehidupan masyarakat dalam semangat perpaduan dan keharmonian.

Menteri Digital Gobind Singh Deo turut berharap agar perayaan itu mendatangkan keamanan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua yang meraikannya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan