KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki yang ditahan kerana disyaki memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kemalangan berhampiran Plaza Tol Jalan Duta di sini pada Sabtu lepas, bukan pemilik sebenar kenderaan pacuan empat roda terlibat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan ringkas berkata siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata permohonan sambung reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu akan dibuat hari ini selepas tamatnya tempoh reman dua hari sebelum ini.
Mohd Zamzuri berkata kertas siasatan kemudian akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, kenderaan jenis Nissan Navara yang dipandu seorang lelaki merempuh motosikal jenis Benelli TRK 502 yang ditunggang pasangan suami isteri menyebabkan mereka tercampak ke bahu jalan.
Mangsa lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada bahagian buku lali manakala isterinya berumur 49 tahun patah buku lali dan tulang rusuk kanan serta pendarahan dalam otak serta masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi di Hospital Sungai Buloh.
Terdahulu, tular video di media sosial pemilik pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan terbabit tampil mendakwa dirinya bukan pemandu ketika kejadian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial