WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUNDINGAN EKONOMI DAN PERDAGANGAN CHINA-AS CAPAI KEMAJUAN SIGNIFIKAN

12/05/2025 04:51 PM

GENEVA, 12 Mei (Bernama-CMG) -- China dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan rundingan peringkat tinggi mengenai hal-ehwal ekonomi dan perdagangan di Geneva, Switzerland dari 10 hingga 11 Mei .

Ketua wakil China bagi rundingan itu, yang juga Naib Perdana Menteri, He Lifeng dalam sidang taklimat yang diadakan pada Ahad malam berkata, kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan secara terus terang dan menyeluruh, serta mencapai persetujuan penting, dan rundingan berkenaan mencapai kemajuan signifikan.

"China dan AS bersetuju untuk membina mekanisme perbincangan mengenai hal-ehwal ekonomi dan perdagangan. Butiran lanjut akan diperincikan dengan secepat mungkin, manakala kenyataan bersama mengenai rundingan kali ini akan diumumkan pada Isnin," kata He.

Beliau berkata, rundingan kali ini mendapat perhatian tinggi oleh masyarakat antarabangsa. Dengan usaha bersama kedua-dua pihak, rundingan kali ini mencapai kemajuan penting ke arah penyelesaian pertikaian melalui dialog sama rata.

"Ini meletakkan asas kukuh dan membina syarat baik untuk kedua-dua pihak merapatkan jurang percanggahan dan meningkatkan kerjasama bagi fasa seterusnya," ujar He.

He menyatakan bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dengan AS bukan sahaja amat penting bagi kedua-dua negara, malah juga memberi kesan besar bagi kestabilan ekonomi dan pembangunan dunia.

Beliau menegaskan bahawa China bersedia bersama AS untuk melaksanakan konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara pada 17 Januari lepas, mengadakan dialog yang ikhlas, berunding secara sama rata, mengawal percanggahan pendapat, meneroka potensi kerjasama, menambah senarai kerjasama, memperkasakan kerjasama bagi mendorong hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS mencapai kemajuan baharu, sekali gus menyuntik lebih banyak kestabilan dan kepastian kepada ekonomi dunia.

--BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan