WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HANYA DUA WAKIL MALAYSIA MARA KE PUSINGAN KETIGA KEJOHANAN SKUASY DUNIA

12/05/2025 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Hanya dua wakil negara berjaya meloloskan diri ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2024-2025 di Chicago, Amerika Syarikat awal pagi tadi. 

Kejohanan yang berlangsung di University Club of Chicago itu menyaksikan pemain skuasy wanita negara S. Sivasangari yang menjadi pilihan ketujuh kejohanan menewaskan Sana Ibrahim dari Mesir 11-4, 11-6, 5-11, 11-5. 

Menanti Sivasangari yang berada di ranking kesembilan dunia itu pemain tuan rumah Amanda Sobhy yang mengecewakan wakil Mesir Kenzy Ayman 11-4, 11-3, 11-4 dalam satu lagi pusingan kedua. 

Sementara itu, seorang lagi wakil negara yang juga pemain nombor 10 dunia Ng Eain Yow berjaya meneruskan momentum kecemerlangannya apabila mudah mengetepikan wakil Pakistan Muhammad Asim Khan 11-4, 11-2, 11-4. 

Eain Yow yang merupakan pilihan ke-10 dijangka berdepan cabaran sukar apabila dijadual bertemu pemain nombor satu dunia Mostafa Asal dari Mesir di pusingan ketiga. 

Nasib berbeza bagi Rachel Arnold yang ditunjukkan jalan pulang selepas ditewaskan pemain nombor empat dunia Olivia Weaver 5-11, 2-11, 13-11, 5-11 selain Aira Azman turut pulang awal selepas dikecewakan pemain Mesir Salma Hany 6-11, 10-12, 4-11. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan