WILAYAH - SELATAN > BERITA

PENDUDUK SEKITAR SUNGAI BATU PAHAT DIMINTA WASPADA KEMUNCULAN BUAYA

12/05/2025 08:11 PM

BATU PAHAT, 12 Mei (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menggesa penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Batu Pahat supaya lebih berwaspada susulan kemunculan tiga ekor buaya dalam tempoh seminggu, minggu lepas.

Pengarahnya Aminuddin Jamin berkata antara kawasan terlibat termasuk Kampung Parit Gantong dan Kampung Parit Lapis yang terletak berdekatan sungai tersebut, yang juga merupakan habitat semula jadi reptilia berkenaan.

Menurut beliau, kemunculan haiwan pemangsa itu dipercayai berkait dengan musim mengawan yang menyebabkan ia naik ke daratan untuk membina sarang dan bertelur.

“Buaya akan menjadi lebih agresif dalam tempoh ini kerana bertindak melindungi telur yang diletakkan di sarang. Sekiranya penduduk terserempak, mereka dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa.

“Walaupun serangan buaya jarang berlaku di Johor, orang ramai tetap perlu berwaspada,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aminuddin berkata pihaknya kini giat menjalankan pemantauan di kawasan sekitar Sungai Batu Pahat termasuk tebing sungai dan penempatan berhampiran bagi mengelakkan sebarang insiden.

Katanya tiga ekor buaya telah berjaya ditangkap minggu lepas di kawasan tebing dan berpaya sungai itu sebelum dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat dan jauh daripada kawasan penduduk.

Sebelum ini, media melaporkan seekor buaya seberat 410 kilogram ditangkap pasukan bomba bersama penduduk di kebun sawit, Rabu lalu (7 Mei), manakala dua lagi ditangkap pada Jumaat (9 Mei).

Salah seekor buaya ditemui dalam bilik air sebuah rumah, manakala seekor lagi ditangkap berhampiran sarang yang mengandungi lebih 50 biji telur.

Penduduk turut melaporkan seekor kambing ternakan mati disyaki dibaham buaya dengan bangkai haiwan itu ditemui kira-kira 20 meter dari tebing sungai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan