WILAYAH - TENGAH > BERITA

SAINT-GOBAIN AKAN LABUR RM200 JUTA UNTUK BINA KEMUDAHAN PEMBUATAN DI PERAK

13/05/2025 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Anak syarikat Malaysia Saint-Gobain Group, Saint-Gobain Prima Sdn Bhd akan melabur lebih RM200 juta antara 2025 dan 2029 untuk membina kemudahan pembuatan di Taman Perindustrian Kanthan di Chemor, Perak, mengukuhkan komitmennya terhadap pembinaan ringan dan mampan.

Peneraju bahan binaan dari Perancis itu berkata pengembangan strategik akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan ketara untuk penyelesaian papan simen gentian premium syarikat itu termasuk PRIMA Flex, PRIMA Plank, PRIMA Liner dan PRIMA Lattice.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Perak adalah negeri yang dikurniakan bahan mentah dan sumber mineral yang banyak, pelaburan oleh Saint-Gobain menunjukkan bagaimana negeri itu boleh memanfaatkan sumber berkenaan untuk memacu aktiviti ekonomi bernilai tinggi dan bukannya hanya mengeksportnya tanpa nilai tambah.

“Dengan mengeluarkan bahan binaan menggunakan bahan mentah dan mineral sumber tempatan, Saint-Gobain bukan sahaja meningkatkan rantaian nilai ekonomi di Perak tetapi juga menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pengembangan Saint-Gobain mewakili pemangkin penting bagi kemajuan industri Malaysia.

“Dengan teknologi mampan termaju, kemudahan ini mewujudkan ‘gold standard’ baharu untuk kecemerlangan pembuatan bernilai tinggi.

“MIDA berbangga dalam memudahkan inisiatif strategik ini yang mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pembuatan bahan binaan termaju di seluruh rantau ASEAN,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Saint-Gobain Malaysia dan Singapura Lynette Siow berkata dengan memperluaskan keupayaan pembuatannya di Perak, Saint-Gobain bukan sahaja mengukuhkan komitmennya terhadap pembangunan perindustrian tempatan tetapi juga memajukan misinya untuk menyediakan penyelesaian bangunan yang ringan dan mampan di seluruh rantau ini.

"Kami percaya dalam menjadikan dunia yang lebih baik, bertanggungjawab, inovatif dan bekerjasama dengan rakan kongsi kami," katanya.

Peluasan itu diumumkan bersama memorandum persefahaman (MoU) antara Saint-Gobain Prima Sdn Bhd dan InvestPerak, direka bentuk untuk meningkatkan kerjasama bagi kejayaan pelaksanaan projek.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Menara Saint-Gobain, Paris, Perancis, turut hadir Saarani, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak Mohamad Hashim Abdul Ghani, Naib Presiden Strategi Korporat Saint-Gobain Noemie Chocat, Naib Presiden Pemasaran dan Pembangunan Saint-Gobain Christian Bako dan wakil-wakil lain daripada kerajaan persekutuan dan negeri.

Pelaburan ini dibina berdasarkan kejayaan Saint-Gobain menjalankan perniagaan selama dua dekad di Malaysia, diperkukuh lagi dengan pengambilalihan Hume Cemboard Industries Sdn Bhd pada 2023, kini beroperasi sebagai Saint-Gobain Prima, seiring dengan misi global Kumpulan iaitu "Making the World a Better Home" dan komitmennya untuk pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan