WILAYAH - TENGAH > BERITA

NAHAS FRU: MENDIANG SARJAN PERUMAL SELAMAT DISEMADIKAN

14/05/2025 07:13 PM

IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Jasad Sarjan S.Perumal, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan di Teluk Intan, semalam selamat disemadikan di Krematorium Buntong di sini petang ini.

 Terdahulu ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan mengunjungi rumah mendiang di Bandar Lahat Mines, Lahat bagi memberi penghormatan terakhir bermula 9 pagi tadi manakala upacara keagamaan dimulakan 2.30 petang. 

Suasana pilu menyelubungi pekarangan krematorium itu apabila lebih 100 orang yang hadir tidak dapat menahan kesedihan sejurus jasad Perumal tiba kira-kira 5 petang.

Persemadian dijalankan mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kawalan kehormat oleh anggota PDRM sebelum ahli keluarga melakukan upacara sembahyang.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah ASP S.Sivakumar daripada Unit Meriam Air, Unit 5 FRU, Sungai Senam, di sini yang kemudian menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada bapa mendiang, K. Sugunanathan, 68. 

Perumal, 44, antara sembilan anggota FRU yang maut selepas kenderaan pasukan itu terlibat kemalangan dengan lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan pada 8.50 pagi semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam selepas tamat tugas.

Kemalangan terbabit turut mengakibatkan dua lagi anggota pasukan berkenaan parah manakala tujuh cedera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan