WILAYAH - SARAWAK > BERITA

10 SEKOLAH TERPILIH TERIMA SCIENCE CASTLE GRANT 2025

15/05/2025 05:54 PM

SEREMBAN, 15 Mei (Bernama) -- Daripada 500 permohonan yang diterima, 10 sekolah terpilih menerima Science Castle Grant 2025 Ajinomoto (Malaysia) Berhad Award bernilai RM2,000 sebagai dana pendidikan bagi menyertai pertandingan Science Castle Asia 2025 pada Oktober ini di Cyberjaya.

Ketua Pegawai Pengeluaran Ajinomoto (Malaysia) Berhad, Yong Kum Cheng berkata menerusi kolaborasi bersama Leave a Nest Malaysia (LVNSMY), inisiatif itu digerakkan bagi tujuan memupuk minat dan penglibatan generasi muda dalam Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Selain sokongan dana penyelidikan, peserta menerima bimbingan daripada mentor terdiri daripada 10 penyelidik AMB dan LVNSMY, melalui sesi dalam talian dan secara bersemuka sepanjang lima bulan ini. 

“Hasil usaha mereka akan dipamerkan pada pertandingan Science Castle Asia 2025. Projek penyelidikan terbaik akan mewakili negara di pentas berprestij iaitu Science Castle World di Tokyo pada Disember 2025," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Geran dan Bengkel yang turut dihadiri Pengarah Urusan Ajinomoto (Malaysia) Berhad, Daisaku Wadami dan Pengarah Urusan LVNSMY Abdul Hakim Sahidi di sini hari ini.

Sekolah itu terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako, SMK Bau, SMK Lundu, SMK Asyakirin Bintulu, Sekolah Menengah St. Michael, SMK Seri Berang, SMK Tumpat, SMK Taman Pelangi Indah, SMK Bandar Puchong Jaya (A) dan Maktab Tentera Diraja.

Yong berkata pihaknya bersama penyelidik muda ini akan mencari penyelesaian inovatif bagi meningkatkan kualiti makanan, mengurangkan pembaziran dan memperkukuh kelestarian pada masa hadapan, sekali gus menarik lebih ramai pelajar berminat mendalami STEM.

"Berdasarkan data terkini, terdapat peningkatan positif dalam penglibatan murid sekolah menengah dalam bidang STEM, namun sasaran nasional bagi penglibatan STEM masih belum tercapai walaupun selepas lebih lima dekad," katanya.

Pengajar di Maktab Tentera Diraja Mohammad Ashraf Raiez Mohmmad Riduan berkata lima orang pelajarnya mengetengahkan projek inovasi baja tablet yang direka khas sejak dua bulan lepas.

Mohammad Ashraf Raiez berkata peluang diberikan ini sangat baik untuk pelajar membina kemahiran dan membangunkan lagi penyelidikan mereka agar dapat menghasilkan satu projek inovatif yang terbaik.

"Baja ni kita nampak benda yang agak murah, tetapi  ia penting dalam membantu mendapatkan hasil tanaman yang lebih cepat, baja juga mempunyai nilai yang tinggi kalau kita dapat dipasarkan dalam cara yang betul," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan