WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MEDIA SOSIAL CETUS RISIKO DISMORFIA SWAFOTO, GUGAT KEYAKINAN DIRI REMAJA

16/05/2025 10:26 AM


From Muhammad Basir Roslan

Saya jarang bandingkan diri saya dengan orang lain, tetapi bila gambar (swafoto) saya dapat 'like’ dan komen memuji, saya berasa gembira sangat, tetapi kalau ada yang kata tidak cantik, saya akan jadi 'down’.”

Pengakuan Nadia (bukan nama sebenar) yang baru berusia 15 tahun ini menyerlahkan pengaruh swafoto yang dikongsikan di platform media sosial kepada remaja, terutama dari segi keyakinan diri.

Lebih menjejaskan bagi Nadia ialah dia suka tampil dengan wajah sebenar berbanding kebanyakan individu lain yang bergantung pada aplikasi “filter” agar tampak lebih menarik di media sosial.

pic-2

“… jadi, bila ada orang tegur gambar tak cantik, saya jadi bertambah stres,” kongsinya kepada Bernama, dan menambah komen sedemikian membuatkan keinginannya untuk tampil “sempurna” semakin kuat.

Situasi yang dialami oleh Nadia ini bukan sesuatu yang luar biasa, kerana menurut pakar, media sosial kini menjadi medium utama yang mencorakkan persepsi masyarakat tentang kecantikan dan kejayaan seseorang, meskipun mereka tahu tidak semua yang dipaparkan itu adalah realiti ataupun realistik.

Keadaan yang dialami oleh Nadia itu juga kata pakar boleh mendorong kepada tercetusnya dismorfia swafoto (selfie dysmorphia) yang merujuk situasi seseorang mengalami gangguan berkaitan imej dan penampilan diri akibat ketaasuban berkongsi swafoto di media sosial.

 

FENOMENA MEMBIMBANGKAN

Pakar psikologi Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai berkata dismorfia swafoto berlaku apabila individu kerap membandingkan penampilan mereka dengan imej “ideal” yang dipaparkan di media sosial.

“Namun gambaran yang dipaparkan itu sering kali tidak realistik (kerana sudah disunting), menyebabkan remaja berasa tidak puas dengan penampilan diri mereka (yang tidak setara dengan paparan di media sosial itu),” jelasnya kepada Bernama.

pic-3

Menurut Pensyarah Kanan (Psikologi Perkembangan) di Pusat Penyelidikan Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia itu lagi, keinginan kuat untuk mendapatkan perhatian dan pengiktirafan melalui "like”,  atau tanda suka, berpotensi menjadi satu bentuk tekanan sosial yang besar kepada remaja.

“Reaksi sosial seperti ‘like’ dan komen positif memberi kesan besar kepada keyakinan diri remaja. Mereka berasa dihargai apabila mendapat perhatian dan sebaliknya berasa rendah diri jika tidak mendapat pengiktirafan yang diingini," katanya.

Menurut beliau, kesan jangka panjang dismorfia swafoto ialah risiko gangguan mental lebih serius seperti gangguan dismorfik tubuh (Body Dysmorphic Disorder) atau BDD, iaitu gangguan psikologi yang membuatkan seseorang taasub dengan ”kekurangan”  fizikal yang selalunya tidak wujud atau terlalu kecil untuk diberikan perhatian oleh orang lain.

 Menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of Adolescence Health pada 2022,  hampir 20 peratus remaja yang aktif di media sosial menunjukkan tanda-tanda awal BDD, dan majoritinya mengaitkan ketidakpuasan terhadap rupa paras mereka dengan kekerapan mengambil dan menyunting gambar sendiri.

Mengulas data itu, Abdul Rahman berkata tekanan berterusan untuk memenuhi standard kecantikan yang tidak realistik, terutamanya yang dibentuk oleh media sosial,  berisiko mengganggu kesejahteraan emosi remaja.

“Di samping itu, masalah ini juga boleh menyebabkan remaja mengalami kemurungan, kerisauan berlebihan dan perasaan terasing. Apabila mereka tidak dapat mencapai gambaran ideal yang mereka impikan, ia boleh menyebabkan gangguan psikologi yang serius dan ini memerlukan intervensi profesional,” jelas beliau.

Menurutnya, remaja yang terperangkap dalam lingkaran dismorfia swafoto juga berisiko mengalami gangguan pemakanan, rendah diri serta kesan terhadap fungsi sosial dan akademik mereka. Malah, dalam kes-kes ekstrem, ketaasuban terhadap penampilan boleh mendorong individu melakukan prosedur kosmetik pada usia yang sangat muda.

Kajian terkini American Academy of Facial Plastic and Reconstructive Surgery (AAFPRS) menunjukkan lebih 50 peratus pesakit yang menjalani prosedur kosmetik menyatakan pengaruh media sosial sebagai faktor utama keputusan mereka.

 

ALGORITMA MEDIA SOSIAL

Sependapat, Prof Madya Dr Shuhaida Md Noor daripada Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia, berkata peranan algoritma media sosial akan memperkuat obsesi individu berkenaan terhadap imej diri.

“Algoritma ini akan menyajikan kandungan yang sesuai dengan minat pengguna, membentuk satu gelembung sosial yang memperkukuh pandangan dan gaya hidup tertentu.

pic-4

“Jika seseorang remaja itu berminat dengan kecantikan, mereka akan terus dipaparkan dengan lebih banyak kandungan mengenai topik tersebut, meningkatkan tekanan untuk memenuhi piawaian kecantikan yang tidak realistik. 

"Fenomena ini menyebabkan remaja terperangkap dalam 'loop' ataupun pusingan konten yang membangkitkan perbandingan sosial, di mana mereka membandingkan diri dengan figura-figura yang menampilkan imej yang diolah," tambahnya lagi.

 Beliau berkata isu ini juga mempunyai kaitan dengan budaya konsumerisme apabila individu berkenaan berbelanja besar untuk membeli produk kecantikan atau fesyen yang diyakini dapat "mencantikkan” lagi penampilan dirinya dan seterusnya mendapat pengiktiran di media sosial.

Oleh itu katanya, tidak mustahil pendedahan berterusan kepada kandungan-kandungan sedemikian akan menjerumuskan seseorang kepada masalah mental BDD, terutamanya jika usaha yang dilakukan menerusi kosmetik dan fesyen tidak memberikan “hasil” yang dikehendaki mereka.

 

PERBAIKI SISTEM PENDIDIKAN DAN MEDIA

Bagi menangani isu ini, Abdul Rahman  berkata sistem sokongan di sekolah dan rumah perlu diperkukuh dengan ibu bapa dan guru harus perlu lebih peka akan perubahan tingkah laku anak remaja.

Katanya antara yang boleh dilakukan ialah mendedahkan anak-anak kepada literasi media bagi membantu mereka menggunakan platform digital secara bijak selain mengehadkan tempoh penggunaan platform itu.

pic-5

“Didik mereka tentang pengaruh media sosial, kerana melalui komunikasi terbuka dan pendidikan di sekolah, kita boleh membantu remaja mengenal pasti kesan negatif media sosial sebelum berkembang menjadi masalah yang lebih serius.

"Dalam menangani selfie dysmorphia, sokongan daripada kaunselor, ahli psikologi dan psikiatri amat diperlukan, khususnya apabila remaja mula menunjukkan tanda-tanda gangguan mental akibat tekanan imej diri, mereka perlu dirujuk kepada profesional yang boleh memberikan terapi dan kaunseling.

“Selain terapi individu, sokongan dalam bentuk kelompok juga penting untuk membantu remaja mengatasi masalah ini. Mereka perlu tahu bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran ini,” tambah beliau lagi.

Tegasnya, isu dismorfia swafoto bukan isu peribadi tetapi cabaran sosial yang memerlukan penyelesaian bersama dan menyeluruh.

“Kita perlu melihat isu ini dalam lapisan yang lebih luas, bermula dari rumah, sekolah, masyarakat, media, dan teknologi. Semua pihak perlu bekerjasama untuk membina persekitaran yang lebih sihat untuk remaja,” jelas beliau.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar media memainkan peranan aktif dalam mengubah norma kecantikan yang sering disalah tafsir. Media, katanya, perlu berhenti mempromosikan imej yang tidak realistik serta memberi lebih ruang kepada paparan visual yang natural dan positif.

 

ADA KESAN POSITIF?

Shuhaida yang bersetuju dengan pandangan itu, berkata remaja perlu diberi pendidikan literasi media secara kritikal, iaitu dilatih untuk memahami bagaimana algoritma berfungsi serta mengawal jenis konten yang mereka layari. 

"Pendidikan literasi media sebenarnya penting supaya remaja dapat membezakan antara kandungan yang sihat dan yang tidak memberi manfaat," tegasnya.

Selain itu katanya amat penting bagi golongan remaja dibimbing dengan penggunaan media sosial secara positif, misalnya untuk pembelajaran atau mengasah bakat yang dapat membantu mereka membina keyakinan diri tanpa bergantung pada pengiktirafan orang lain. 

“Sebenarnya, budaya swafoto boleh memberi kesan positif jika diterapkan secara sihat. Menerusi swafoto, mereka boleh belajar membina identiti diri tanpa perlu terpengaruh dengan piawaian yang ditetapkan oleh orang lain.

Selfie (swafoto) memberi ruang kepada remaja untuk menunjukkan identiti mereka, dan ini boleh menjadi satu proses pembelajaran yang positif selagi mereka mengelak daripada terlalu obses dengan pengaruh luar,” katanya.

Beliau berkata dalam konteks ini, ibu bapa khususnya, memainkan peranan penting untuk membimbing anak remaja mereka menerima diri sendiri dan memfokuskan perhatian pada kelebihan yang ada.

“Dengan sokongan ibu bapa, pihak sekolah, dan pendidikan literasi media, remaja dapat membentuk identiti mereka secara positif tanpa terpengaruh dengan tekanan sosial,” katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan