JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Seorang peniaga kerugian RM720,800 akibat terperdaya dengan sindiket pelaburan saham dalam talian pada 25 Mac lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Victor Genason berkata lelaki berusia 58 tahun itu telah melihat iklan di laman Facebook yang menawarkan pelaburan dengan menjanjikan keuntungan 50 peratus dalam tempoh tiga bulan.
Beliau berkata tertarik dengan iklan itu, mangsa kemudian melakukan 15 transaksi ke empat akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM730,500 dari 25 Mac hingga 9 Mei lepas.
“Mangsa kemudian diminta membuat pembayaran tambahan bagi mengeluarkan hasil keuntungan pelaburannya.
"Bagaimanapun, lelaki itu menyedari dia ditipu apabila usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan gagal dan hanya mendapat pulangan RM9,700," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Victor berkata siasatan awal mendapati tiga daripada empat akaun terlibat mempunyai 20 rekod laporan polis membabitkan kes penipuan pelaburan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika disabit kesalahan.
"Pada masa sama, kita ingin menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan wang tinggi (dalam tempoh singkat) dan lakukan semakan serta dapatkan maklumat lengkap daripada sumber sahih, sebelum melakukan pembayaran," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial