WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIADA KEUPAYAAN MENILAI DAN FIKIRAN KRITIS, AI TIDAK MAMPU GANTI TUGAS MANUSIA - PAKAR INDUSTRI

17/05/2025 04:53 PM

CYBERJAYA, 17 Mei (Bernama)  --  Kecerdasan buatan (AI) tidak mempunyai keupayaan berfikir secara kritis dan membuat penilaian yang mendalam membuatkan peranan manusia tetap tidak tergantikan dalam dunia pekerjaan, menurut pandangan pakar industri.  

Pengurus Kanan Latihan Teknikal Keselamatan Siber BlackBerry CCoE Jaclyn Sim berkata walaupun AI mampu mengambil alih tugas yang berulang, teknologi itu tidak memiliki kebolehan kreatif dan analitik yang menjadi ciri khas manusia.

“Bayangkan sahaja AI seperti manusia lain yang boleh bekerja 24 jam sehari tanpa henti. Namun, yang kita harapkan daripada  AI adalah membantu kita dengan tugas yang berulang, hal yang kita lakukan setiap hari dan bersifat rutin. Sementara kita sebagai manusia pula ingin melakukan sesuatu yang lebih kreatif, lebih analitik.

“Penilaian manusia tetap sangat penting, terutama dalam situasi kandungan yang dijana oleh AI kemungkinan tidak sesuai atau mengelirukan...pengawasan manusia tetap diperlukan kerana inilah kekuatan utama manusia,” katanya semasa menjadi penceramah dalam forum bertajuk The Future of Connectivity: Advancing Digital Inclusion Through Transformative Technologies yang berlangsung di sini hari ini.

Forum tersebut dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2025.

Sim berkata perkembangan pesat teknologi AI turut membawa risiko baharu sekali gus meningkatkan permintaan terhadap tenaga profesional dalam bidang keselamatan siber.

“Apabila melibatkan AI, semua orang boleh akses segala bentuk maklumat sama ada yang baik mahupun yang buruk. Sebab itulah keselamatan siber kini menjadi lebih penting berbanding sebelum ini, bagi memastikan maklumat tidak tercemar atau terdedah kepada pihak yang tidak sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan MCMC Datuk Zurkarnain Mohd Yasin, yang juga seorang daripada penceramah pada forum itu, sependapat dengan SIM dengan menyatakan AI harus dilihat sebagai pemudah cara bukannya pengganti. 

“AI hanyalah produk. Ia menyusun maklumat dengan cekap namun teknologi itu tidak mampu berinovasi, hanya manusia yang boleh melakukannya. Oleh itu, kita memerlukan lebih ramai inovator dalam bidang keselamatan siber kerana ancaman penjenayah siber sentiasa berubah,” katanya.

Zurkarnain turut menegaskan meskipun AI boleh membantu dalam menganalisis ramalan, kecerdasan manusia masih diperlukan untuk memberi panduan dan mengarahkan sistem AI supaya berfungsi dengan berkesan.

“AI perlu diberi arahan. Justeru inovasi, pemikiran kritis masih datang daripada manusia. Apa yang kita perlu sekarang ialah set kemahiran baharu dan pemikiran peringkat tinggi,” katanya.

Mengambil contoh insiden melibatkan versi Jalur Gemilang janaan AI baru-baru ini , Zulkarnain menekankan kepentingan pengawasan manusia dalam memastikan ketepatan dan kesesuaian pada setiap yang dihasilkan oleh teknologi itu. 

“Ia bukan hanya melibatkan keselamatan siber tetapi juga mengenai kesahihan terhadap hasil yang diberikan AI. Kita masih memerlukan manusia untuk menyemak sama ada ia betul atau sebaliknya,” katanya.

 Sim dan Zurkarnain turut berkongsi pandangan sama bahawa AI bukanlah ancaman kepada pekerjaan sebaliknya ia membuka ruang kepada tenaga kerja di Malaysia untuk meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan landskap teknologi yang sentiasa berubah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan