WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIDANG KEMUNCAK ASEAN: RERUAI JUALAN, PAMERAN DI KLCC BERMULA 23 MEI

18/05/2025 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Reruai jualan dan pameran bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang menawarkan pelbagai produk tempatan dan perkhidmatan kerajaan serta aktiviti menarik akan dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan reruai jualan dan pameran itu terbuka kepada orang awam bermula pada 23 hingga 25 Mei manakala delegasi ASEAN pada 26 dan 27 Mei, melibatkan sejumlah 36 reruai dengan 25 pempamer.

Bertemakan The Heritech Malaysia, iaitu mainan kata yang menggabungkan unsur warisan dan teknologi, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai demonstrasi penghasilan kraf tangan tempatan secara langsung selain berinteraksi dengan paparan papan digital dan video.

Antaranya demonstrasi menekat benang emas, anyaman dan mencanting batik, penggunaan dompet digital, permainan dan pameran interaktif, pameran kraf tangan, cabutan bertuah, edaran cenderahati, uji rasa produk makanan dan minuman tempatan, serta simulasi dron.

Pengunjung juga bakal menyaksikan persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli yang dikelolakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), persembahan kebudayaan oleh artis berkeupayaan khas dan pelancaran produk tempatan baharu.

Pameran dan perkhidmatan kerajaan pula melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di KLCC, menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi, selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

Selain itu, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) kedua dan buat julung kalinya, Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China turut berlangsung secara serentak.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan