WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JUMLAH PENAGIH DADAH DI IBU NEGARA MENURUN HAMPIR 14 PERATUS

18/05/2025 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Sebanyak 5,800 individu dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah di sekitar ibu negara bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, menurun sebanyak 13.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata statistik semasa menunjukkan kadar penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang itu ialah 253 penagih bagi 100,000 penduduk di Kuala Lumpur.

“Kategori dadah yang menjadi pilihan utama mereka ialah Amphetamine Type Stimulants (ATS) dengan majoriti 65 peratus atau 3,768 orang bagi tempoh Januari hingga Mac 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program KL Car Free Morning bersempena dengan Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.

Lebih 1,000 peserta menyertai larian sejauh 5 kilometer (km) melalui jalan-jalan utama di sekitar ibu negara.

Dalam pada itu, beliau berkata objektif program ini bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya dadah dengan menyampaikan mesej "Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama" secara inklusif melalui pendekatan santai, sihat dan terbuka. 

“Selain itu, aktiviti ini juga mampu memperkukuh peranan komuniti dalam pencegahan dadah dengan menggalakkan penglibatan komuniti khususnya masyarakat bandar termasuk belia dan keluarga dalam usaha mewujudkan persekitaran bebas dadah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan