WILAYAH - TIMUR > BERITA

PENIAGA WANITA CEDERA DISIMBAH ASID DI BACHOK

18/05/2025 04:20 PM

KOTA BHARU, 18 Mei (Bernama) -- Seorang peniaga wanita berusia 27 tahun cedera selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh seorang individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang dekat Bachok semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata kejadian berlaku ketika mangsa sedang membuka pintu premis miliknya untuk memberikan perkhidmatan urutan mengikut satu temu janji.

Beliau berkata ketika itulah suspek secara tiba-tiba menyimbah cecair dipercayai asid ke arah mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

"Pemeriksaan forensik di lokasi kejadian menemui empat kesan cap jari serta bekas yang dipercayai digunakan oleh suspek.

“Mangsa kini menerima rawatan susulan kecederaan yang dialami dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Ismail berkata siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Balai Polis Tawang atau Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan