WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENULIS BUKU ‘DARI CHENOR KE CHENNAI’ DINOBATKAN JOHAN APBN PAHANG 2025

18/05/2025 07:52 PM

KUANTAN, 18 Mei (Bernama) -- Penulis buku Dari Chenor Ke Chennai Mohamad Haikal Zakaria dinobatkan johan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) peringkat Pahang 2025 bagi kategori individu lelaki .

Bagi kategori wanita pula dimenangi Bendahari Sekretariat Pengakap Kelana Pahang Nur Azreena Faizan, manakala Majlis Belia India Malaysia cawangan Kuantan merupakan johan bagi kategori pertubuhan belia. 

Kesemua pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, sijil dan trofi. 

Mohamad Haikal yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Media Komunikasi Daerah Maran berkata beliau merancang untuk menyumbangkan sebahagian daripada wang kemenangan kepada Majlis Belia Daerah Maran. 

“Dana berkenaan akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan belia termasuk pertandingan e-sukan, nyanyian dan aktiviti keusahawanan yang bertujuan memperkasakan golongan muda di Maran,” katanya.

Mohamad Haikal berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Fadzli Mohamad Kamal pada Festival Belia Pahang sempena Sambutan Hari Belia Negara 2025 di sini hari ini.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian di Saveetha Dental College Chennai, India itu turut bergiat aktif dalam Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan pernah menyertai program-program kesukarelawanan di luar negara seperti di Vietnam dan Myanmar.

Selain itu, Nur Azreena yang merupakan pengurus Stock Charity Shop turut berkongsi rasa bangga apabila inisiatif kedai jualan amal di bawah Sekretariat Pengakap Kelana Pahang menjadi rujukan antarabangsa selain mampu menjana pendapatan untuk program kebajikan. 

Mengambil inspirasi daripada moto Pengakap, “Berkhidmat”, beliau giat memupuk semangat perkhidmatan dan pembangunan ekonomi belia sejak zaman universiti, termasuk melalui penyertaan aktif dalam pelbagai pertubuhan seperti Kelab Rakan Muda dan Malaysian Retail Agency.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan