WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KES PENIAGA BELON: BAPA LIMA ANAK DIDENDA RM6,000 KERANA HASUT, UGUT PENGUAT KUASA DBKL

19/05/2025 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Bapa lima anak didenda RM6,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku menghasut dan mengugut anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan insiden membabitkan peniaga belon yang tular hujung Mac lepas.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan, yang menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga baju Mustafa Sulaiman, 57, berkata kepentingan awam perlu diutamakan dalam kes berkenaan kerana kenyataan tertuduh bagaikan mencurah minyak ke dalam api.

“Mahkamah berharap hukuman ini akan memberi pengajaran kepada tertuduh. Bagi kesalahan pertama, tertuduh didenda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda manakala bagi kesalahan kedua, tertuduh didenda RM4,000 atau tiga bulan penjara," katanya.

Mustafa didakwa membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam terhadap Mohammad Shahli Zaini Mohd Zulkepli, 32, dengan niat hendak menghasut orang awam untuk melakukan sesuatu kesalahan terhadapnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga didakwa menakutkan mangsa sama melalui kenyataan yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp dengan ugutan hendak menyebabkan kematian atau kecederaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya. 

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Menara Penguatkuasaan DBKL, Jalan Yaacob Latif Bandar Tun Razak, Cheras di sini pada 10.30 pagi 7 April lepas.

Terdahulu, peguam Dzafir Firdaus Ahmad Zubairy memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga yang menjaga lima anak, isteri dan mentua.

“Tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ia  kesalahan pertama. Kenyataan anak guam saya tidak membawa sebarang hasutan dan ia hanya dihantar dalam kumpulan WhatsApp,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa pula memohon hukuman setimpal kerana tangkap layar WhatsApp tersebut memaparkan kenyataan berbaur ancaman, hasutan dan ugutan dengan niat terhadap penguat kuasa DBKL sebagai penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang.

“Tertuduh berniat jahat untuk menjejaskan reputasi dan imej Datuk Bandar serta menghasut untuk mendatangkan kecederaan kepada penguat kuasa DBKL,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan